Negara-Negara ASEAN Sepakat Iktiraf Sijil Vaksinasi Covid-19

16 May 2022 • 10:46 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Nampaknya ada satu berita baik untuk semua ‘kaki travel’ yang tak sabar nak ke luar negara, lebih-lebih lagi kepada mereka yang ada membuat perancangan untuk menggembara ke negara-negara ASEAN.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan bahawa menteri-menteri kesihatan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sepakat untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lebih lancar dan selamat.

Perkara tersebut telah dipersetujui dalam satu sesi perbincangan khas sempena Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Asean (AHMM) ke-15 yang di adakan di Bali, baru-baru ini.

image is not available

Difahamkan, pengiktirafan ini bakal dilaksanakan menggunakan Mekanisme Pengesahan Universal Asean atau mekanisme lain yang telah dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tambahnya lagi, hal ini bertujuan untuk memudahkan pengesahan sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan oleh setiap negara anggota Asean yang mana pembangunan mekanisme pengesahan universal tersebut akan diterajui oleh Indonesia.

Selain itu, difahamkan sistem yang akan digunakan nanti secara tak langsung berpotensi untuk menyokong negara anggota ASEAN yang belum mempunyai sistem pengesahan sijil vaksinasi Covid-19.

image is not available

Dalam masa yang sama, Malaysia juga difahamkan bersedia untuk bekerjasama dengan negara anggota Asean lain dalam melaksanakan pengiktirafan bersama sijil vaksin Covid-19 bagi memastikan pembangunan rantau Asean yang lebih selamat.

Untuk rekod, selain Malaysia negara-negara anggota ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan juga Vietnam.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.