
Kota Kinabalu: Kolej Universiti Yayasan Sabah (KUYS) menawarkan biasiswa bernilai RM3 juta kepada 100 pelajar pertama dalam kategori B40 yang mendaftar untuk pengambilan Julai 2022.
Pemangku Naib Cancelor KUYS Prof Dr Junaenah Sulehan (gambar) berkata pelajar yang layak bakal menerima tajaan yuran pengajian dan asrama serta elaun.
Ditubuhkan pada 2014, KUYS yang merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah kini menawarkan program diploma dan ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Dr Junaenah berkata KUYS akan mengadakan sesi temuduga terbuka bagi pengambilan Julai dan September di lokasi terpilih untuk pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM yang ingin melanjutkan pelajaran mereka.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut pasukan Komunikasi Korporat dan Pemasaran KUYS akan berada di beberapa lokasi di seluruh Sabah.
Sesi temuduga terbuka akan bermula di MB Hotel Tawau pada 14 Jun, diikuti Dewan Sipadan, Majlis Daerah Semporna pada 16 Jun, Harbour Mall Sandakan (18-19 Jun), Dewan Masyarakat Kota Marudu (21 Jun), Pisompuruan Square Tambunan (23 Jun), Dewan PKS Keningau (25 Jun), Dewan Pa’ Musa Beaufort (28 Jun) dan KUYS Sembulan (30 Jun).
Kesemua sesi bermula dari 9 pagi hingga 3 petang kecuali di Kota Kinabalu (kampus KUYS di Sembulan), yang dijadualkan bermula dari 9 pagi sehingga 4 petang.
Antara program diploma yang ditawarkan adalah bidang Pengurusan Perhotelan, Pengurusan Pelancongan, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Pengajian Media, Animasi, Seni Skrin serta Seni Visual dan Reka Bentuk.
KUYS juga menawarkan program ijazah sarjana muda, antara lain dalam Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Lestari, Pengajian Pembangunan dengan Komunikasi Media, Pentadbiran Perniagaan dan Perakaunan.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Morsede Mohamad pada talian 011-26169717, Arbot Maakut di 014-6605627 atau Pejabat Perhubungan Pelajar pada talian 017-7050173 / 088-511173.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

