
TAWAU: Mayat seorang bayi perempuan masih bertali pusat ditemui di dalam dalam sebuah beg pakaian di tepi laut Tanjung Batu Logpond di sini, sekitar jam 4.43 petang, Rabu lepas.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mayat itu ditemui orang awam dalam sebuah beg berwarna merah jambu yang terapung di laut berhampiran jeti.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang saksi sedang berjalan dengan tunangnya di kawasan tersebut sebelum terlihat beg yang terapung itu dan mendapati ada seorang bayi masih bertali pusat didalamnya apabila membuka beg tersebut.
“Bayi itu dipercayai sudah meninggal dunia dan saksi kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap beg tersebut, seketul batu seberat 1.2 kilogram dibalut bersama bayi berkenaan menggunaan sehelai kain batik, dipercayai bertujuan untuk menenggelamkan beg tersebut ke dalam laut bagi mengelak dikesan.
Jasmin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian kemudiannya membawa mayat bayi itu ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemeriksaan doktor mengesahkan mayat bayi itu adalah perempuan.
Tambahnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis.
Orang ramai juga, katanya, dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak sahih kepada umum dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai poilis berhampiran atau IPD Tawau (089-752222).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


