Di Sebalik Tabir Operasi MyTV – Bagaimana Rakyat Malaysia Dapat Menikmati Siaran Televisyen Digital Di Seluruh Negara

TechnologyDigital
3 Oct 2019 • 6:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sejak pertengahan tahun ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa siaran rangkaian televisyen akan ditukar daripada siaran yang menggunakan isyarat analog kepada siaran televisyen digital.

Baru-baru ini, kami berkesempatan untuk melawat ibu pejabat MyTV Broadcasting, syarikat yang bertanggungjawab untuk membina, menguji dan menjaga infrastruktur siaran digital di Malaysia ini.

image is not available

Ibu pejabat mereka terletak di Cyberjaya dan bertanggungjawab untuk menyebarkan kandungan-kandungan yang diterima oleh syarikat-syarikat penyiaran melalui MyFreeView, iaitu perkhidmatan penyiaran televisyen digital, yang pada masa ini mempunyai 14 rangkaian televisyen dan juga enam rangkaian radio.

Penaiktarafan Berperingkat

Secara teknikalnya, perkhidmatan penyiaran digital MyFreeView sudahpun mula beroperasi dengan rasmi pada pertengahan tahun ini. Pengguna boleh mula menggunakan perkhidmatan ini jika mereka membeli sebuah Set Top Box DVB-T2 ataupun sebuah televisyen IDTV yang mempunyai dekoder terbina didalamnya.

image is not available

 Pada bulan Julai 2019, ujian perintis telah dijalankan oleh MyTV bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia di Pulau Langkawi untuk melihat keberkesanan penukaran isyarat analog ini kepada siaran digital tersebut.

 

image is not available

Penutupan isyarat analog ini kemudiannya diteruskan ke seluruh Malaysia, bermula dengan negeri-negeri di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, termasuklah Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada 30 September 2019.

image is not available

Penutupan isyarat tersebut akan diteruskan ke negeri-negeri di bahagian utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, dan pantai timur Pahang, Kelantan dan Terengganu pada pertengahan bulan Oktober, dan akhirnya Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober.

Ujian Perintis Di Pulau Langkawi

Pulau Langkawi dijadikan tapak ujian perintis penutupan rangkaian analog ini kerana beberapa sebab. Pertama ialah kawasan geografi Pulau Langkawi yang cukup unik. Ia mempunyai kawasan pekan, kawasan kampung dan kawasan pedalaman yang terdiri daripada bukit-bukau dan pesisiran pantai didalam jarak yang dekat diantara satu sama lain.

image is not available

Kawasan-kawasan ini memberikan pihak MyTV persekitaran yang cukup sesuai untuk menguji dua jenis teknologi penyiaran yang digunakan untuk menyiarkan rangkaian digital MyFreeView tersebut.

Pulau Langkawi juga cukup rapat dengan perairan negara Thailand, dimana mereka sudahpun mula menjalankan penyiaran rangkaian televisyen digital, dan di beberapa bahagian pulau tersebut, pengguna boleh

image is not available

Satu lagi sebab ialah Pulau Langkawi mempunyai populasi penduduk yang hidup di pelbagai jenis kawasan, seperti yang kami nyatakan tadi. Untuk Langkawi, MyTV menggunakan khidmat Pusat Internet tempatan sebagai pusat untuk menjual dan mengedarkan set top box yang diperlukan untuk menonton siaran rangkaian televisyen digital tersebut.

Pada 21 Julai 2019, Pulau Langkawi menjadi kawasan pertama dimana siaran analog ditutup secara sepenuhnya, dan proses penutupan isyarat analog kebangsaan bermula dengan rasmi, dan akan dilengkapkan menjelang 31 Oktober 2019.

Operasi

MyTV Broadcasting dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai pengendali infrastruktur televisyen digital di Malaysia. Untuk syarikat-syarikat penyiaran televisyen yang ingin menyiarkan rancangan-rancangan mereka melalui MyFreeView, MyTV turut bertanggungjawab untuk memastikan proses penyiaran ini berlaku dengan cepat dan mudah.

image is not available

 

Kami turut diberitahu bahawa MyTV tidak dibenarkan menyiarkan kandungan mereka sendiri. Ini adalah untuk memastikan bahawa syarikat tersebut tidak dilihat berat sebelah dalam menggunakan spektrum yang diagihkan untuk kepentingan sendiri.

Operasi MyTV juga sentiasa diaudit untuk memastikan bahawa rangkaian-rangkaian yang disiarkan sentiasa berkualiti tinggi dan mempunyai jaminan hayat sekurang-kurangnya 90 peratus sepanjang masa.

image is not available

 

Menerangkan secara singkat mengenai kelebihan rangkaian digital ini berbanding dengan isyarat analog ialah sebelum ini, hanya satu saluran televisyen dapat ditunjuk dengan satu jalur frekuensi radio.

 

Oleh kerana frekuensi-frekuensi ini adalah terhad dan mahal, tidak banyak saluran televisyen dapat disalurkan melalui ruang udara Malaysia. Dengan penutupan isyarat analog dan pengagihan isyarat digital, setiap jalur frekuensi radio mampu menampung sebanyak 12 saluran televisyen pada masa yang sama.

image is not available

Menurut MyTV, mereka masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk menyiarkan lebih banyak lagi saluran-saluran televisyen jika syarikat penyiar beminat untuk menyiarkan kandungan mereka melalui MyFreeView.

Siaran Televisyen Percuma Untuk Orang Ramai

Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, pengguna boleh membeli set top box DVB-T2 ataupun televisyen IDTV dengan dekoder terbina didalamnya untuk menikmati saluran-saluran digital MyFreeView.

image is not available

Dalam pada itu, pihak kerajaan turut mengedarkan sebanyak 2 juta set top box kepada rakyat Malaysia yang berada dibawah Skim Bantuan Sara Hidup, dimana mereka boleh menikmati saluran-saluran televisyen ini walaupun mereka tidak mempunyai televisyen moden.

image is not available

Kami sempat meninjau beberapa rumah di kawasan Bukit Lancung, dimana terdapat beberapa rumah yang masih menggunakan televisyen CRT daripada tahun 1990an, dan menggunakan decoder yang diberikan, mereka boleh menonton saluran-saluran ini tanpa cacat-cela. Resolusi dan nisbah aspek siaran mereka tidak kelihatan kekok, malah, kualiti siaran dapat dilihat lebih baik berbanding dengan siaran menggunakan isyarat analog.

image is not available

Laman web MyFreeView ada tanda harga dan proses untuk membeli dan memasang set top box ini, dan langkah-langkahnya agak mudah. Satu isu yang mungkin akan dihadapi oleh para pengguna ialah pemasangan antenna UHF yang diperlukan untuk menerima isyarat siaran.

image is not available

Pengguna mempunyai pilihan untuk menggunakan antenna UHF dalam rumah ataupun luar rumah, tetapi menurut MyTV, untuk kualiti siaran yang terbaik, ia disarankan bahawa pengguna mendapatkan antenna luar.

MyTV menggunakan dua cara untuk memastikan seramai 98 peratus daripada kawasan di seluruh Malaysia boleh mendapatkan siaran MyFreeView ini. Pertama ialah melalui cara Digital Terrestrial Television (DTT) yang menggunakan menara pemancar untuk menghantar isyarat ke rumah-rumah pengguna.

image is not available

Cara ini merupakan cara yang terbaik untuk menghantar isyarat ke kawasan-kawasan bandar dan perumahan tanpa perlu risau mengenai sebarang gangguan dari cuaca.

Cara kedua ialah Direct To Home, ataupun DTH. Untuk ini, MyTV menggunakan satelit-satelit di angkasa untuk memancarkan isyarat digital terus ke rumah-rumah pengguna, sama seperti apa yang dilakukan oleh Astro.

image is not availableMyTV berkata bahawa cara ini dilakukan untuk penghantaran isyarat yang lebih cepat ke kawasan pedalaman tanpa perlu membayar untuk pembinaan menara-menara pemancar di kawasan-kawasan tersebut.

Mereka juga mengaku bahawa kelemahan kehilangan isyarat sewaktu cuaca buruk masih akan berlaku, tetapi selain dari itu, mutu isyarat yang diterima melalui DTH ini akan sama seperti isyarat yang diterima daripada cara DTT.

Ujian Jangka Masa Panjang

Walaupun siaran MyFreeView ini sudah bermula dengan rasmi sejak pertengahan tahun ini, MyTV masih sedang menguji kualiti rangkaian digital baru ini sehingga 31 Oktober kelak.

Ini dapat dilihat melalui tera air (watermark) di bahagian atas paparan yang mengatakan anda sedang menonton siaran MyFreeView. Tera air ini bertujuan untuk mengesahkan bahawa pengguna sedang menonton siaran digital MyFreeView, dan akan dibuang apabila fasa ujian rangkaian ini tamat sepenuhnya.

image is not available

MyTV turut berkata jika orang ramai mempunyai soalan mengenai MyFreeView, ataupun masalah apabila menggunakannya, mereka boleh menelefon talian bantuan MyFreeView di 1800-18-1088.

Sebarang kemusykilan mengenai bagaimana untuk membeli set top box DVB-T2 ataupun IDTV, dan proses pemasangan peralatan ini, termasuk saluran-saluran televisyen yang boleh ditonton melalui MyFreeView boleh dilihat di laman web mereka di MyFreeView.TV