
Seperti yang kita tahu, Malaysia merupakan destinasi percutian pilihan ramai bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi juga pelancong luar negara. Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan sebanyak 73.8 juta pelawat domestik pada suku kedua 2025.
Manakala ketibaan pelancong antarabangsa pada 2024 mencapai 99%, prestasi yang meningkat jika dibandingkan dengan fasa pandemik. Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pertumbuhan lanjut antara 3-5% pada 2025.
Antara negeri yang sentiasa sesak dengan jumlah pelawat yang tinggi tidak kira musim atau waktu adalah Kuala Lumpur, Sabah, Ipoh, Perak, Pulau Pinang dan banyak lagi.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Ekstravaganza”- Pelancong AS Teruja Lihat R&R Di Malaysia [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Everyone Seems Very Happy” – Ini Pendapat Mat Saleh Tentang Pros & Cons Melancong Di Malaysia
Pulau Pinang Dipilih Antara 20 Lokasi Menarik Untuk Dilawati Seluruh Dunia
Kalau anda nak tahu, Pulau Pinang juga diiktiraf CNN dan New York Times sebagai antara destinasi pelancongan terbaik untuk dilawati bagi tahun 2026.
CNN Travel menamakan Pulau Pinang antara 20 destinasi pelancongan terbaik, selain menyifatkan Pulau Pinang sebagai negeri penuh ‘cita rasa sejarah’ (taste of history).

Menerusi senarai yang diterbitkan pada 31 Disember 2025 lalu, Pulau Pinang diletakkan bersama negara dan negeri-negeri menarik lain di seluruh dunia. Antaranya:
- Adelaide, Australia
- Aragon, Sepanyol
- Brussels, Belgium
- Devon, United Kingdom
- Oulu, Finland
- Philadelphia, Amerika Syarikat
- Algeria
- Timor Leste
- Orkhon Valley, Mongolia
- Kanazawa, Jepun
Mural Kreatif Di Jalan Sekitar Penang Antara Yang Menjadi Tumpuan
Dalam laporan sama, Pulau Pinang diperincikan mengenai keistimewaan gastronominya, budaya Peranakan, sejarah serta mural-muralnya yang berseni dan kreatif. CNN Travel juga menekankan seni jalanan pembuat kasut terkenal dunia Datuk Jimmy Choo, yang berasal dari negeri ini.

“Sama ada bertaraf Michelin atau tidak, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati hidangan lazat di Pulau Pinang dengan gerai jalanan, pasar malam dan kopitiam menyajikan kari penuh aroma, semangkuk laksa panas, kek pandan dan kelapa yang tidak terlalu manis, serta pelbagai juadah menyelerakan lain.
“Di antara waktu makan, terokailah mural jalanan ikonik di George Town, termasuk sebuah mural yang memberi penghormatan kepada wira tempatan, Jimmy Choo,” memetik laman CNN Travel.
New York Times Turut Iktiraf Pulau Pinang Sebagai Destinasi Pelancongan Terbaik Di Malaysia
Sementara itu, Penang Global Tourism (PGT) menerusi hantaran di laman Facebook turut berkongsi bahawa Pulau Pinang telah disenaraikan di kedudukan ke-15 dalam “52 Best Places to Go in 2026”, iaitu pakej pelancongan tahunan yang diterbitkan oleh The New York Times.
Lebih membanggakan, Pulau Pinang merupakan satu-satunya destinasi dari Malaysia yang tersenarai dalam senarai tersebut.
“Pulau Pinang merupakan satu-satunya destinasi di Malaysia yang tersenarai. Sebabnya kerana Pulau Pinang terkenal sebagai sebuah bandar pelbagai budaya yang kaya dengan sejarah dan terus menghargai serta meraikan warisan silamnya,” kata PGT.
Baca Artikel Berkaitan: Pulau Pinang Antara 7 Destinasi Terbaik Untuk Dilawati Di Asia Tenggara
