liza05/01/2026 - 15:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – Pusat membeli-belah baharu di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) bakal melonjakkan lagi negeri itu sebagai lokasi penganjuran acara mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) terkemuka di rantau ini.
Pengarah IJM Perennial Development Datuk Tony Ling Thou Lung berkata kewujudan PWCC akan melengkapkan lagi pembangunan bersepadu di kawasan itu tanpa menjejaskan pusat membeli-belah sedia ada.
"Pusat membeli-belah ini menggabungkan integrasi pusat konvensyen, pejabat dan hotel yang akan memacu pembangunan keseluruhan serta kawasan sekitarnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turun padang melawat PWCC hari ini.
Beliau turut menepis kebimbangan sesetengah pihak mengenai risiko lebihan pusat membeli-belah sedia ada di Pulau Pinang sebaliknya menegaskan setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri.
“Ia bergantung kepada lokasi dan perancangan. Bagi pembangunan PWCC, ia mempunyai tujuan khusus dalam menyokong persekitaran bersepadu dan aktiviti yang dijana oleh pusat konvensyen, serta tidak akan menimbulkan isu lambakan,” katanya.
PWCC yang mula beroperasi pada Oktober tahun lepas, dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama perniagaan dan pelancongan di utara Semenanjung Malaysia.
Pusat membeli-belah, pejabat dan hotel dijadual siap menjelang pertengahan tahun ini, meningkatkan lagi fungsi dan daya tarikan kawasan tepi laut tersebut.
Ling bagaimanapun enggan mendedahkan penyewa utama pusat membeli-belah itu, tetapi menyatakan ia bakal menampilkan jenama baharu dari Malaysia dan luar negara.
Maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan menjelang pembukaan pada April depan.
Sementara itu, Chow berkata sektor konvensyen dan pelancongan Pulau Pinang mencatat pertumbuhan kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan anggaran impak ekonomi daripada aktiviti berkaitan melebihi RM1 bilion pada tahun lepas.
“Dengan kewujudan PWCC, Pulau Pinang menjangkakan sumbangan ekonomi ini akan meningkat dengan ketara sepanjang 2026.
“Gabungan unsur moden dan warisan, disokong oleh industri perhotelan yang kukuh, menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan bagi sektor perniagaan dan pelancongan,” katanya. - DagangNews.com



