Aaron akui Wooi Yik tetap pasangan terbaik

28 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aaron akui Wooi Yik tetap pasangan terbaik

PETALING JAYA: Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus bereksperimen dengan kombinasi baharu, pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia, tetap percaya gandingannya bersama Soh Wooi Yik masih memiliki kekuatan tersendiri untuk bersaing di pentas tertinggi.

Keyakinan itu hadir ketika kedua-dua pemain bakal membawa haluan berbeza selepas Kejohanan Dunia, dengan Aaron dijadualkan bergandingan bersama Man Wei Chong pada China Masters di Shenzhen, mengikut perancangan barisan kejurulatihan.

Aaron mengakui percubaan menggandingkan pemain berbeza mempunyai tujuan tersendiri, namun pengalaman bertahun-tahun bersama Wooi Yik menjadikan mereka lebih memahami corak permainan dan pergerakan antara satu sama lain.

“Kalau bercakap mengenai pandangan peribadi saya, tidak kira saya bergandingan dengan Man atau Arif Junaidi, saya rasa pasangan asal lebih kuat kerana kami sudah lama bersama.

“Bagaimanapun, mungkin jurulatih mahu melihat kemampuan kami apabila digandingkan dengan pemain lain kerana semua pasangan sudah lama bersama. Jadi, mereka mahu mencuba dan melihat keserasian yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wooi Yik turut akan membawa haluan berbeza apabila dijadualkan bergandingan dengan pemain muda, Aaron Tai, di Shenzhen.

Wooi Yik juga akan berehat selama sebulan selepas namanya digugurkan daripada skuad Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun.

Bagi Aaron, ujian seterusnya menanti apabila dia dijadualkan beraksi di China Masters di Shenzhen dari 1 hingga 6 September sebelum meneruskan kempen pada Sukan Asia yang berlangsung dari 20 hingga 29 September.

Eksperimen gandingan baharu itu dijangka berterusan dalam beberapa siri Jelajah Eropah pada Oktober, termasuk Terbuka Arctic di Finland, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Barisan kejurulatihan kemudian akan membuat penilaian lebih menyeluruh terhadap prestasi dan keserasian setiap kombinasi sebelum menentukan hala tuju pasangan tetap.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, sebelum ini menegaskan bahawa proses pertukaran pasangan bukan semata-mata untuk mencari gandingan baharu, sebaliknya bertujuan memberikan pemain pengalaman serta pendedahan berbeza.

Menurut Herry, keputusan muktamad mengenai pasangan tetap hanya akan dibuat selepas pihaknya menilai hasil semua percubaan sehingga penghujung tahun.

“Sudah pasti perubahan pasangan ini membawa banyak perkara positif kepada pemain kerana mereka mendapat lebih banyak pengalaman apabila bergandingan dengan pasangan baharu, terutama pemain muda,” ujarnya.-UTUSAN

 

The post Aaron akui Wooi Yik tetap pasangan terbaik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved