Aaron-Wooi Yik belum terlepas daripada rombakan

26 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aaron-Wooi Yik belum terlepas daripada rombakan

SEPANG: Pingat perak Kejohanan Dunia 2026 belum cukup untuk memastikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali sebagai gandingan tetap selepas ini apabila ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, mahu meneruskan proses penilaian sehingga penghujung tahun.

Herry mengakui pencapaian Aaron-Wooi Yik di New Delhi, India, tetap positif selepas mereka mara ke final pada penampilan pertama bersama sejak Terbuka Indonesia Jun lalu, namun keputusan itu tidak mengubah perancangan rombakan pasangan yang sedang dilaksanakan.

Menurut Herry, Aaron-Wooi Yik akan kembali dipisahkan selepas Kejohanan Dunia bagi memberi ruang kepada pihaknya menilai keserasian mereka bersama pasangan lain sebelum menentukan kombinasi terbaik untuk jangka panjang.

“Walaupun mereka tak juara, keputusan yang dicatatkan menurut saya cukup baiklah, tapi kalau mahu lebih baik lagi kalau mereka juara pasti lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Herry berkata, tempoh singkat dipisahkan daripada gandingan asal tidak menghakis keserasian Aaron-Wooi Yik yang sudah lama bersama, malah kedua-duanya masih mampu menampilkan prestasi terbaik sebaik digandingkan semula di pentas dunia.

“Yang saya tengok, mereka ini pasangan yang sudah lama, walaupun tiga, empat kejohanan tak berpasangan, bila mereka bergandingan masih boleh serasi sesama sendiri kerana mereka sudah lama (berpasangan),” katanya.

Katanya, kekalahan di final kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 16-21 tidak menafikan prestasi positif Aaron-Wooi Yik, namun pihak kejurulatihan tetap mahu melihat lebih banyak data dan keputusan sebelum membuat kesimpulan.

“Menurut saya hasilnya cukup baik walaupun tak juara, kalah di final saya rasa maksimum,” katanya.

Herry menegaskan eksperimen gandingan berbeza akan diteruskan kerana keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas pihaknya melihat keseluruhan perkembangan pemain sehingga penghujung tahun.

“Ya, tetap kita masih tengok lagi hasil gandingan dengan yang lain, nanti baru akhir tahun kita boleh pastikan, ini (pasangan) tetap, ini tidak, ini boleh jadi, kira-kira seperti itu, jadi nanti akhir tahun baru kita boleh pastikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan percubaan menukar pasangan bukan semata-mata bertujuan mencari kombinasi baharu, sebaliknya menjadi platform untuk pemain terutama golongan muda mengumpul pengalaman dan menyesuaikan diri dengan corak permainan berbeza.

“Pastilah daripada perubahan-perubahan pasangan ini banyak positifnya yang dapat daripada pemain, jadi pemain raih banyak pengalaman dengan pasangan yang baharu, terutama pemain-pemain yang muda, jadi mereka banyak pengalaman,” katanya. – UTUSAN

The post Aaron-Wooi Yik belum terlepas daripada rombakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved