Aaron-Roy King bangkit julang Masters Kumamoto

15 Nov 2026 • 1:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aaron-Roy King bangkit julang Masters Kumamoto
Aaron (kanan) dan Roy King meraih gelaran kedua sejak digandingkan bulan lalu. - FOTO: Agensi

BEREGU lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King mencipta kebangkitan bergaya untuk merangkul gelaran Masters Kumamoto 2026 selepas menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pentas final pada Ahad.

Dalam aksi berlangsung di Kumamoto, Aaron-Roy King dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan tuan rumah itu menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam tempoh 55 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Roy King meraih gelaran kedua sejak digandingkan, sekali gus meneruskan momentum positif selepas muncul juara Terbuka Artik pada Oktober lalu.

Kejayaan itu turut membuktikan percaturan jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi atau lebih dikenali sebagai Naga Api semakin membuahkan hasil.

Herry mula melakukan rombakan pasangan pada awal tahun ini apabila memisahkan Aaron daripada Kang Khai Xing, gandingan yang pernah menjulang gelaran juara dunia remaja 2024.

Aaron kemudian diuji bersama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebelum Herry membentuk kombinasi baharu bersama Roy King menjelang siri kejohanan Eropah pada Oktober lalu.

Keputusan itu ternyata menjadi percaturan tepat apabila Aaron-Roy King menjuarai Terbuka Artik dalam penampilan sulung sebelum menambah koleksi kejuaraan di Kumamoto.

Dua gelaran dalam tempoh kira-kira lima minggu kini menjadi petanda positif buat beregu baharu negara itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved