Aaron-Roy King cipta kejutan, muncul juara Terbuka Artik

11 Oct 2026 • 9:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aaron-Roy King cipta kejutan, muncul juara Terbuka Artik
Aaron (kanan) dan Roy King muncul juara Terbuka Artik selepas menewaskan pasangan Taiwan dalam aksi final di Finland. Foto : Agensi.

GANDINGAN baharu negara, Aaron Tai-Yap Roy King, mencipta kejutan apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Artik sebentar tadi.

Kejayaan itu diraih selepas mereka menewaskan pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, pada aksi final di Energia Areena, Finland.

Lebih manis, kejayaan tersebut hadir pada penampilan pertama Aaron dan Roy King sebagai pasangan dalam kejohanan berstatus Super 500 itu.

Mereka membuktikan keserasian yang cukup baik apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam mana-mana set sepanjang kempen kejohanan, sekali gus melengkapkan perjalanan cemerlang dengan gelaran juara.

Pada aksi final, Aaron-Roy King berdepan tentangan sengit daripada pasangan Taiwan sebelum mengesahkan kemenangan straight set 21-19, 21-19 dalam tempoh 40 minit.

Set pertama menyaksikan beregu negara itu bijak mengawal rentak permainan sebelum memanfaatkan peluang untuk meraih dua mata terakhir bagi mencatat kemenangan 21-19.

Memasuki set kedua, Aaron-Roy King sekali lagi mempamerkan penguasaan permainan. Namun, Po Yu-Fu Cheng enggan menyerah kalah apabila berjaya mengikat kedudukan pada 13-13 dan 15-15.

Bagaimanapun, pasangan negara kekal tenang ketika berdepan tekanan sebelum menoktahkan kemenangan 21-19 untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

Kejayaan itu turut membawa pulangan lumayan apabila Aaron-Roy King meraih hadiah wang kemenangan berjumlah AS$39,500 (kira-kira RM160,000).

Kejayaan tersebut pastinya menjadi permulaan positif buat Aaron dan Roy King yang baru digandingkan, selain membuka peluang untuk mereka terus membina keserasian bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved