Aaron-Wooi Yik rampas gelaran beregu lelaki nombor satu negara

FootballSports
22 Jul 2025 • 1:27 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kembali merampas status sebagai beregu nombor satu Malaysia menjelang kempen Terbuka China minggu ini.

Gandingan yang kini berada di kedudukan nombor dua dunia itu menyingkirkan pasangan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang turun ke ranking ketiga dunia selepas tewas di final Terbuka Jepun, Ahad lalu.

Kejatuhan ranking Sze Fei-Izzuddin turut menyaksikan pasangan sensasi Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, naik ke kedudukan teratas dunia selepas merangkul kejuaraan di Jepun.

Walaupun Aaron-Wooi Yik dikejutkan dengan kekalahan di pusingan pertama Terbuka Jepun apabila ditumbangkan oleh rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, semangat mereka kekal utuh untuk bangkit di China.

Aaron berkata mereka hanya meneruskan persiapan seperti biasa tanpa sebarang keistimewaan dan menekankan keperluan untuk bersedia menghadapi setiap perlawanan.

Pasangan itu dijadualkan bertemu beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard dalam aksi pembukaan esok.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di Terbuka China adalah sebagai naib juara pada edisi 2023. Mereka tidak menyertai kejohanan itu tahun lalu akibat kecederaan dialami oleh Wooi Yik.

Sementara itu, juara bertahan Terbuka China, Sze Fei-Izzuddin, akan berdepan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju, pada perlawanan pertama esok.

Turut beraksi, gandingan Yew Sin-Ee Yi bakal menentang pasangan tuan rumah, Ren Xiang Yu-Su Wen Jun, manakala Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong akan berdepan beregu Taiwan, Fang Chih Lee-Fang Jen Lee.

Menariknya, dua lagi beregu negara akan bertembung sesama sendiri di pusingan pertama, iaitu pasangan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.