
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kekal dengan misi untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir meskipun Wooi Yik dibelenggu kecederaan.
Naib juara Terbuka Denmark itu tidak akan menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Korea, Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong, sebaliknya mahu meneruskan perjuangan untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan teratas ranking Jelajah Dunia.
Aaron berkata, kecederaan tumit kanan dialami Wooi Yik ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu tidak terlalu serius, namun ia tetap memerlukan sedikit masa untuk pulih.
“Keadaan saya dan Wooi Yik okey sahaja dan dia juga sedang berada dalam proses pemulihan. Kami tetap akan pergi ke Korea, Jepun dan Hong Kong untuk kejohanan akan datang,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Pada aksi jelajah Eropah sebelum ini, bekas juara dunia itu menampilkan aksi cukup baik apabila muncul naib juara Terbuka Denmark selain mara ke suku akhir Terbuka Perancis sebelum menarik diri.
Tambah Aaron, dia dan Wooi Yik sedia untuk memberikan segala-galanya dalam tiga kejohanan akan datang bagi merebut tempat ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada 8 hingga 13 Disember depan.
“Kami perlu beraksi habis-habisan dalam tiga kejohanan tersebut kerana ia akan membantu kami menambah pungutan mata untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir. Kami akan turun bermain dan tengok bagaimana keadaannya nanti,” ujarnya.
Pada ketika ini, Aaron-Wooi Yik berada di tangga ketujuh ranking Jelajah Dunia, sekali gus berada dalam landasan terbaik untuk layak, namun kedudukan mereka belum terjamin kerana masih ada beberapa kejohanan perlu diharungi.
The post Aaron-Wooi Yik sedia teruskan misi appeared first on Kosmo Online.






