
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan rentak konsisten apabila berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di SJF Bank Arena, Odense hari ini, juara Terbuka Arctic minggu lalu itu menang 13-21, 21-18, 21-19 ke atas Kang Min Hyuk-Lee Jong Min dari Korea Selatan.
Roy King berkata, dia dan Aaron pada awalnya sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum kembali mendapatkan rentak sebenar di set kedua dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
“Kami sebenarnya belum menguji gelanggang, jadi set pertama itu memang kami bergelut dan kurang selesa. Kemudian, kami mula mendapatkan rentak sebenar apabila perlawanan memasuki set kedua.
“Saya juga akui beregu lawan sangat kuat dan memberikan tentangan sengit kepada kami,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Aaron pula menganggap kekalahan di set pertama bukan disebabkan kepenatan kerana sudah bermain di Terbuka Arctic hingga ke final, sebaliknya berpunca daripada kesilapan sendiri.
“Saya fikir ia (bergelut) berpunca daripada pergerakan angin dalam gelanggang tetapi kami berjaya menanganinya dengan baik. Bagi saya, ia bukan disebabkan penat, mungkin bermain kurang baik,” ujarnya.
Menjelang aksi pusingan kedua esok, Aaron-Roy King akan berdepan laluan sukar apabila dijadualkan bertemu rakan sepasukan yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Denmark: Aaron-Roy King akui ‘lambat panas’ appeared first on Kosmo Online.




