Ab Ghani ikrar buat pembaharuan

LocalFootball
18 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ab Ghani ikrar buat pembaharuan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk Ab Ghani Hassan tekad memulihkan reputasi dengan mengembalikan keyakinan peme­gang taruh, terutama penyokong terhadap badan induk bola sepak negara itu secepat mungkin.

Ab Ghani berkata, perkara terbabit antara agenda utama yang akan diberi perhatian oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dalam tempoh kurang tiga tahun selepas dilantik pada Kongres Luar Biasa di Petaling Jaya semalam.

Menurut Ab Ghani, antara agenda utama adalah untuk menyelesaikan segala pandangan dan komen dikemukakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada awal tahun ini.

“Kita akan cuba kembalikan keyakinan. Jadi, kita kena atasi (krisis) dan untuk meyakinkan kembali semua pemegang taruh, penyokong bola sepak serta rakyat Malaysia khususnya.

“Kita akan merancang ataupun yang dah ada, kita rancang untuk kita bentangkan dalam mesyuarat Exco pertama dan perlu mendapat persetujuan semua nanti.

“Dari situ kita akan bergerak untuk memastikan bola sepak Malaysia ini dalam masa dua tahun setengah, dapat mencari satu perubahan dan pembaharuan dalam bola sepak negara ini, insya-Allah,” katanya pada sidang media semalam.

Sementara itu, Ab Ghani turut mengesahkan bakal melepaskan jawatan sebagai Presiden MFL bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas baharu selaku peneraju dalam pucuk pimpinan FAM.

Kata Ab Ghani, peletakan jawatan itu tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ke­rana mahu memastikan urusan ­peralihan kepimpinan MFL berjalan lancar.

“Saya akan meletakkan jawatan tetapi bukan masa terdekat ini. Untuk saya menjalankan ­tugas, menghabiskan (tanggungjawab). Insya-Allah tak lama lagi saya akan umumkan letak ­jawatan saya sebagai Presiden MFL.

“Buat masa ini, saya dan rakan-rakan (Ahli Lembaga Pe­ngarah MFL) akan memastikan siapakah yang akan mengambil alih posisi saya selaku Presiden MFL. Saya tidak boleh fokus kepada dua jawatan dan kita tahu ada masalah di FAM, itu yang kita kena fokuskan.

“MFL yang ada sekarang menjaga liga, jadi seseorang perlu mengambil alih sebagai Presi­den untuk memastikan perjalanan MFL berjalan dengan baik,” ujarnya.

Ab Ghani sah dilantik menjadi Presiden FAM kesembilan apabila dia menang dengan majoriti mudah selepas meraih 20 undi menewaskan pencabar, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang hanya mendapat lima undi.

The post Ab Ghani ikrar buat pembaharuan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved