Empat cabaran menanti Presiden FAM baharu

17 Sep 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat cabaran menanti Presiden FAM baharu
Presiden baharu berdepan empat cabaran untuk memulihkan kredibiliti FAM. Gambar kecil: Ab Ghani (kiri), Shahril

MEMULIHKAN kredibiliti dan kepercayaan penyokong terhadap tadbir urus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat antara cabaran terbesar dan paling kritikal yang perlu ditangani presiden baharu badan induk bola sepak negara itu sekiranya terpilih pada Kongres Luar Biasa pada Khamis.

Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, isu legasi yang sebelum ini menjejaskan imej FAM memerlukan transformasi segera bagi mengembalikan keyakinan peminat, penaja dan pemegang taruh terhadap hala tuju badan berkenaan.

“Bagi saya, cabaran terbesar dan paling kritikal sebagai Presiden baharu FAM nanti adalah untuk memulihkan kredibiliti dan kepercayaan penyokong terhadap tadbir urus FAM.

“Isu-isu legasi yang menjejaskan imej badan induk ini memerlukan transformasi segera,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Pekan, aspek restrukturisasi tadbir urus perlu menjadi antara agenda utama kepimpinan baharu dengan sistem pengurusan dalaman FAM diperkemaskan bagi memastikan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban benar-benar diterapkan dalam setiap proses membuat keputusan.

"Selain itu, presiden baharu juga perlu mencari formula kejayaan skuad kebangsaan di pentas Asia dan antarabangsa demi memuaskan hati peminat tegar tanah air.

"Kelestarian kewangan dan penajaan juga penting dalam menarik keyakinan penaja korporat luar untuk terus menyuntik dana ke dalam program pembangunan bola sepak negara.

"Turut perlu diberikan perhatian iaitu membersihkan imej negara dari pandangan negatif negara luar terhadap isu pemalsuan dokumen pemain warisan dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan yang sama," kataynya.

Saingan merebut kerusi panas Presiden FAM itu tertumpu kepada pertarungan dua penjuru membabitkan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Dalam pada itu, Pekan mengingatkan bahawa Presiden baharu FAM tidak akan mampu melaksanakan perubahan besar secara bersendirian tanpa sokongan penuh daripada barisan Exco serta ahli gabungan.

Katanya, kekuatan sesebuah kepimpinan bukan hanya bergantung kepada individu yang berada di kerusi presiden, sebaliknya memerlukan kesepakatan seluruh struktur organisasi FAM.

“Presiden baharu tidak akan mampu melakukan perubahan besar secara bersendirian jika tidak mendapat sokongan penuh daripada barisan exco dan ahli gabungan.

“Presiden memerlukan kesepakatan dalam struktur kepimpinan supaya setiap agenda reformasi dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, proses membuat keputusan dalam FAM turut memerlukan sokongan dan kelulusan majoriti ahli jawatankuasa eksekutif, khususnya membabitkan dasar besar, pelantikan jurulatih serta peruntukan kewangan.

Justeru, katanya, tanpa sokongan padu daripada barisan kepimpinan, Presiden baharu berisiko berdepan politik dalaman atau campur tangan pihak luar yang boleh melambatkan pelaksanaan agenda reformasi.

“Tanpa sokongan padu, Presiden berisiko menghadapi situasi politik dalaman atau campur tangan pihak luar yang boleh melumpuhkan atau melambatkan pelaksanaan reformasi yang dirancang.

“Jika keadaan itu berlaku, Presiden hanya akan menjadi ‘presiden di atas kertas’ tanpa kuasa eksekutif yang efektif untuk melaksanakan perubahan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved