
MELAKA: Barisan Nasional (BN) yakin berpeluang memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, berdasarkan perkembangan politik semasa menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perkembangan politik di peringkat Persekutuan, termasuk beberapa isu yang timbul ketika tempoh berkempen, dilihat memberi ruang kepada BN untuk meningkatkan keyakinan pengundi.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan turut membuka peluang kepada BN untuk terus menerajui pentadbiran negeri Melaka.
“Ya, saya melihat peluang BN amat besar.
“Dalam berlaku sedikit kecelaruan politik di Putrajaya, dengan isu-isu semasa yang tidak sepatutnya berlaku dalam tempoh pilihan raya ini, memberikan kelebihan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional untuk menerajui Melaka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Kempen Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini malam tadi.
Ditanya sama ada BN akan memperoleh lebih daripada 21 kerusi yang dimenangi pada PRN 2021, Ab. Rauf meminta semua pihak menunggu keputusan pengundian.
“Itu kita tunggu dulu. Insya-Allah,” katanya.
Ab. Rauf yang juga calon BN kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, jentera pilihan raya di kawasan berkenaan berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi hari pengundian.
Beliau berkata, sambutan masyarakat setempat terhadap gerak kerja kempen BN juga positif.
“Saya melihat PDM (pusat daerah mengundi) kawasan Bidara Palma ini cukup bersedia menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung dua hari lagi.
“Semua orang akan bersama-sama untuk memastikan bahawa geng biru akan dapat kembali semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Tanjung Bidara ini,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
PRN Melaka Ke-16 menyaksikan BN dan Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama strategik dengan BN bertanding di 23 kerusi manakala PN di lima kerusi. – UTUSAN
The post BN yakin menang besar appeared first on Utusan Malaysia.






