Ab Rauf yakin BN-PN tak bertembung di Melaka -“Kita sudah bernikah dengan berkadi…”

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 10:29 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Barisan Nasional (BN) Melaka menjangkakan tiada pertembungan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November ini, susulan kesepakatan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan.

Tak mungkin berlaku pertembungan

Memetik laporan daripada Astro Awani, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan, kedua-dua pihak sudah mencapai persefahaman dan bersetuju untuk bergerak bersama dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Ketua Menteri Melaka itu turut menolak kemungkinan BN dan PN bertembung seperti yang berlaku di Johor, meskipun kedua-dua gabungan menjalin kerjasama politik.

“Tidak mungkin berlaku (pertembungan kerusi) kerana telah berada dalam satu kesepakatan silaturahim yang baik.
“Saya rasa tak mungkin bertembung. Kerana di Melaka ini ia tak sama dengan Johor dan tak sama dengan Negeri Sembilan.
“Di sini kita sudah bernikah dengan berkadi, nanti kalau bercerai pun ada talak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026.

Image from: Ab Rauf yakin BN-PN tak bertembung di Melaka -“Kita sudah bernikah dengan berkadi…”

“Jangan ada dusta di antara kita”

Menurut Ab Rauf, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu memutuskan PN sebagai rakan strategik BN. Kedua-dua pihak turut bersetuju menyelaraskan gerak kerja pilihan raya serta menggunakan manifesto bersama.

Pengarah Pilihan Raya BN itu berkata, kerjasama berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk penyelarasan jentera bagi memastikan kedua-dua gabungan bergerak seiring.

“Semua sama (gerak kerja jentera) Di mana ada kita, di situ ada dia (PN). Jadi jangan ada dusta di antara kita,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata MCA turut bersetuju menerima kawasan yang diperuntukkan kepada parti itu untuk ditandingi, sekali gus menunjukkan persefahaman dalam kalangan parti komponen BN.

Beliau menyifatkan persetujuan itu sebagai hasil persefahaman kekeluargaan yang baik antara UMNO dan MCA.

Image from: Ab Rauf yakin BN-PN tak bertembung di Melaka -“Kita sudah bernikah dengan berkadi…”

Sebelum ini, BN mengesahkan pemeteraian perjanjian persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16 pada 14 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian yang ditandatangani di Menara Dato Onn itu disahkan menerusi Mesyuarat MKT UMNO, selain persetujuan untuk melancarkan manifesto pilihan raya bersama.

BN meletakkan 21 calon pada PRN kali ini, manakala tujuh lagi kerusi diperuntukkan kepada Pas dan rakan kerjasamanya.

Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved