SHAH ALAM - Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan kegagalan rundingan dengan kepimpinan gabungan itu.
Presiden MIPP, S P Punithan berkata, keputusan itu dibuat berlandaskan prinsip dan maruah perjuangan parti yang disifatkan lebih penting daripada mengejar kerusi yang tidak relevan.
"Kami tidak akan menggadaikan prinsip semata-mata demi kepentingan politik. MIPP bukan Parti yang boleh berkompromi semata-mata mahu jadi calon.
"Semangat berpasukan, saling menghormati dan keterangkuman merupakan asas penting dalam sesebuah gabungan politik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Punithan, kekuatan gabungan tidak seharusnya bergantung kepada parti tertentu sahaja, sebaliknya perlu berteraskan semangat kebersamaan, kepercayaan serta kesediaan menghormati kepentingan setiap parti komponen.
"Perjuangan MIPP adalah untuk membela nasib masyarakat India dengan bermaruah, berprinsip dan tanpa kompromi.
"Kami percaya bahawa suara serta kepentingan masyarakat India perlu diberikan pengiktirafan dan kedudukan yang sewajarnya dalam landskap politik negara," ujarnya lagi.
Beliau berkata, apabila rundingan gagal mencapai persetujuan, MIPP perlu membuat keputusan berdasarkan prinsip, maruah dan mandat perjuangan parti.
"Kerusi boleh dicari, tetapi maruah perjuangan tidak boleh digadaikan," tegasnya.





