“Abah Tak Nak Follower, Abah Nak Kau Ja…” – Luahan Sebak Bapa Arwah Athira Auni Undang Tangisan Warganet

LocalFamily & Parenting
5 Jan 2026 • 11:33 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUANTAN – Tiada kata yang mampu meredakan kehilangan seorang ayah terhadap anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Kesedihan yang dipendam, air mata yang gugur dalam diam dan rindu yang tidak akan pernah terubat itulah yang kini mengundang sebak ramai apabila luahan pilu seorang bapa tular di media sosial, sekali gus menyentuh hati warganet dari pelbagai lapisan usia.

Luahan penuh emosi seorang bapa yang kehilangan anak tersayang sekali lagi mengundang sebak warganet apabila satu perkongsian tular dimuat naik oleh pengguna TikTok, @callmeaf11, dengan kapsyen, “Sebaknya tengok live tadi… semoga arwah Auni ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.”

Rakaman siaran langsung berkenaan memaparkan kesedihan mendalam seorang ayah yang meratapi pemergian anak perempuannya, Allahyarham Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, sekali gus menyentuh hati ribuan pengguna media sosial.

“Sakitnya Hanya Allah Yang Tahu”

Ruangan komen dibanjiri luahan emosi dan doa daripada warganet yang turut sama merasai kehilangan tersebut.

“Allahuakhbar… seorang ayah sukar untuk mengeluarkan air mata, tetapi sekali dia kehilangan… sakitnya hanya Allah jua yang tahu,” tulis @Rahimahsalleh.

Lebih meruntun perasaan apabila satu komen memetik luahan bapa arwah yang berbunyi, “Kalau hantar cacat pun tak apa abah boleh jaga, tapi kenapa awak buat dia sampai tak ada dekat dunia,” seperti dikongsikan oleh @M I N S H O P️.

Turut mengundang sebak ialah komen @ yang menulis, “Abah tak nak pun follower kau, abah nak kau ja,” manakala @ pula berkongsi, “Kalau kakak sunyi, datanglah dalam mimpi abah.”

Dalam pada itu, beberapa netizen turut bertanyakan latar belakang keluarga arwah. Menurut maklum balas di ruangan komen, arwah merupakan anak kedua dalam keluarga, dan dimaklumkan juga bahawa ibu bapanya telah berpisah.

“Abah Akan Selalu Ziarahi Kakak”

Sementara itu, satu lagi perkongsian tular oleh pengguna TikTok @izazi_izzati turut mengundang emosi warganet apabila memetik luahan pilu bapa arwah, “Abah tahu kakak kesunyian, abah akan selalu menziarahi kakak.”

Perkongsian tersebut disertakan dengan doa, “Ya Allah, andai ayah kita macam ni… Al-Fatihah buat arwah Athira Auni,” yang turut mengundang ribuan tanda suka dan komen simpati.

Tragedi Ragut Nyawa Pempengaruh Muda

Terdahulu, media melaporkan satu berita hiba yang menggegarkan komuniti media sosial apabila pempengaruh TikTok terkenal, Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya tragis di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu itu berlaku berhampiran TMG Mall Bandar Putra, ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke pusat bandar.

Menurut laporan awal, motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang pelajar politeknik. Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemergian gadis berusia 21 tahun itu bukan sahaja meninggalkan duka mendalam buat keluarga, malah turut dirasai oleh ribuan pengikutnya yang mengenali arwah sebagai seorang yang rajin, merendah diri dan berbudi bahasa.

Allahyarhamah sebelum ini pernah tular dan meraih pujian ramai kerana sering membantu bapanya menguruskan gerai roti canai, termasuk melakukan siaran langsung ketika menebar roti canai sebagai cara mendekati pengikutnya.

Kes kemalangan berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kehilangan ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat warga Kuantan serta komuniti digital yang mengikuti perjalanan hidup usahawan muda yang sangat disenangi ramai.

Al-Fatihah buat Allahyarham Athira Auni. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – The Malaysian Update

The post “Abah Tak Nak Follower, Abah Nak Kau Ja…” – Luahan Sebak Bapa Arwah Athira Auni Undang Tangisan Warganet appeared first on The Malaysian Update.