
KOTA BHARU – Pendulang emas berisiko menjadi mangsa lemas sekiranya mengabaikan aspek keselamatan sepanjang melakukan aktiviti tersebut secara riadah atau mencari rezeki di kawasan sungai.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan kejadian lemas melibatkan aktiviti berkenaan, namun ia tetap berisiko terutama kepada individu yang kurang berpengalaman.
“Kita tidak menghalang aktiviti mendulang emas kerana ia dibenarkan kerajaan negeri, namun mereka yang terlibat perlu lebih peka terhadap keadaan sungai, cuaca semasa dan faktor keselamatan ketika berada di air.
“Statistik kematian akibat lemas di Kelantan menunjukkan antara 20 hingga 30 kes direkodkan setiap tahun dengan kira-kira 60 peratus daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua lelaki maut selepas tertimbus di dalam lubang yang digali ketika melombong emas secara haram di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong dekat Jeli pada 20 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Farhan Sufyan memberitahu, pihaknya turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko kebakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering akibat fenomena Super El Nino yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
Katanya, keadaan itu dijangka mengurangkan risiko banjir besar di Kelantan dan pada masa sama meningkatkan kebarangkalian berlakunya kebakaran terbuka.
“Setakat ini, sebanyak 2,197 panggilan berkaitan kebakaran terbuka diterima di Kelantan tahun ini berbanding hanya 337 kes bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai yang kedua tertinggi selepas Kedah.
“Daripada jumlah tersebut, lebih 70 peratus kejadian kebakaran terbuka melibatkan kawasan belukar yang dipercayai berpunca daripada perbuatan sengaja bagi tujuan membersihkan kawasan dan memulakan aktiviti penanaman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Abai aspek keselamatan, pendulang emas berisiko lemas appeared first on Kosmo Digital.




