
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak malam Khamis (30 Julai) lalu, ada sahaja kemalangan yang dilapor melibatkan peserta program Program RXZ Members Edisi Kelapan (RXZ Members 8.0) serta orang awam.
Bukan itu sahaja, turut kedengaran luahan sesetengah pihak mengenai sikap segelintir peserta yang didakwa membahayakan pengguna jalan raya lain serta mengganggu ketenteraman.
JPJ Ambil Maklum Rungutan Orang Ramai Sikap Segelintir Peserta RXZ Members, Akan Ambil Tindakan Jaga Kepentingan Awam
Semalam (2 Ogos), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai mengenai sikap segelintir peserta acara perhimpunan motosikal terbesar negara itu yang didakwa menunggang motosikal sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pengguna dari beberapa negeri telah meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pihak berkuasa susulan tindakan segelintir peserta yang didakwa menjadi punca kesesakan jalan raya serta mengabaikan aspek keselamatan.
“Mereka mengatakan jalan raya sesak dan peserta berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat, memandu secara melulu serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur.
“Jadi kalau ada tindakan-tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya yang dipetik dari Astro Awani.
JPJ Tak Akan Sokong Jika Isu Keselamatan & Kemalangan Masih Berulang – KP
Jelas Aedy Fadly, pihaknya akan meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan selain memanggil penganjur program permotoran untuk menghadiri sesi libat urus
Ia bertujuan bagi memberi peringatan tegas mengenai pematuhan undang-undang jalan raya.
“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi.
“Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta-peserta,” ujarnya.
JPJ Tak Pernah Halang, Sentiasa Ingatkan Penganjur Minta Peserta Patuhi Peraturan
Tambah Aedy lagi, setiap kali penganjuran perhimpunan motosikal termasuk RXZ Members diadakan, kebiasaannya penganjur akan mendapat pandangan dan nasihat dari JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ia dilaksanakan.
Malah, pihaknya sentiasa mengingatkan pihak penganjur agar memastikan kesemua peserta mengikut peraturan serta menggunakan motosikal yang mematuhi spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan dan berada dalam keadaan selamat.
“JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program permotoran selagi ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Mana-mana peserta yang tidak patuh, termasuk mengubah suai kenderaan secara tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan tindakan tanpa kompromi yang mana itu kita telah mulakan.
“Saya ingin ingatkan kepada peserta program-program permotoran akan datang supaya mematuhi peraturan jalan raya dan jangan sesekali membahayakan pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Pada masa sama, jelas Aedy Fadly ketika diminta mengulas mengenai kemalangan jalan raya melibatkan peserta program RXZ Members, siasatan akan dijalankan oleh PDRM terlebih dahulu.
JPJ kemudiannya akan meneliti hasil siasatan sebelum mengambil tindakan susulan yang dirasakan bersesuaian.
6 Kematian Libatkan Peserta Program RXZ Members 8.0
Terdahulu, penganjur Program RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, telah menukarkan slogan acara berkenaan dari ‘Yang Kental Pasti Sampai’ ditukarkan kepada ‘Yang Santai Pasti Sampai’.
Penukaran slogan yang telah digunakan sejak sembilan tahun lalu dibuat bagi menyemai budaya tunggangan berhemah dalam kalangan peserta.
Namun belum sampai 24 jam penganjurannya pada minggu lalu, tiga kematian telah direkodkan melibatkan peserta program terbabit.
Manakala, tiga lagi kematian direkodkan pada Sabtu (1 Ogos) serta Ahad (2 Ogos) lalu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut adalah enam orang.
Siri kemalangan maut tersebut sejak edisi pertama diadakan turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan ianya membimbangkan.
Malah Dr Dzulkefly turut menggesa agar penganjur program motosikal termasuk RXZ Members menjadikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib program berkenaan.
“Sudah tiba masa kita ubah mentaliti ekstrem di jalan raya. Hentikan penggunaan slogan lama, budayakan slogan baharu membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan, ‘Yang santai, pasti sampai’.
“Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Sudah 3 Peserta Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 8.0 Maut
Baca Artikel Berkaitan: Penganjur RXZ Members Tukar Slogan Jadi ‘Yang Santai Pasti Sampai’, Ajak Peserta Tunggang Motosikal Secara Berhemah
Baca Artikel Berkaitan: RXZ Members 8.0: Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan





