Abang Johari bertemu Pengerusi SoftBank di Tokyo tingkatkan kerjasama pembangunan infrastruktur AI Sarawak

LocalTechnology
18 Nov 2026 • 1:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Abang Johari bertemu Pengerusi SoftBank di Tokyo tingkatkan kerjasama pembangunan infrastruktur AI Sarawak Image from: Abang Johari bertemu Pengerusi SoftBank di Tokyo tingkatkan kerjasama pembangunan infrastruktur AI Sarawak amree18/11/2026 - 13:00 ABANG Johari Tun Openg (tengah) bersama-sama (dari kiri) Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Janin Girie; Pengerusi SoftBank, Masayoshi Son; dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Datuk Anthony Tan Ping Yeow di Tokyo, Jepun. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SoftBank Group, Masayoshi Son di Tokyo, Jepun bagi memperkukuhkan kerjasama pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak.

 

Pertemuan peringkat tinggi yang berlangsung pada Selasa itu turut membabitkan Grab Holdings Ltd dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), susulan kerjasama strategik tiga pihak berkenaan yang mencadangkan pelaburan permulaan berjumlah AS$1 bilion (RM4.07 bilion).

 

Pelaburan tersebut merangkumi AS$800 juta (RM3.28 bilion) daripada SoftBank, manakala Grab dan Petros pula masing-masing mencadangkan sumbangan AS$100 juta (RM412 juta) bagi usaha membangunkan infrastruktur pengkomputeran AI yang berskala besar di Sarawak.

 

"Ketiga-tiga pihak memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) secara maya pada 9 November 2026 selepas menandatangani perjanjian rangka kerja di Kuching pada 8 Oktober 2026, sekali gus menandakan fasa seterusnya kerjasama berkenaan," lapor The Edge.

 

Menerusi perjanjian itu, SoftBank akan menerajui projek berkenaan dengan memegang kepentingan majoriti, manakala Grab serta PETROS bertindak sebagai rakan strategik dengan menggabungkan kepakaran teknologi, tenaga dan infrastruktur masing-masing.

 

Kerjasama itu menyokong aspirasi jangka panjang SoftBank membangunkan kapasiti pengkomputeran AI hingga lima gigawatt (GW), dengan pembiayaan disalurkan secara berperingkat berdasarkan pencapaian pembangunan, komitmen kontrak pelanggan dan syarat penyempurnaan berkaitan.

 

Softbank_Bloomberg
Foto kredit Bloomberg

 

Rakan strategik berkenaan menurut laporan portal berita tersebut, turut berusaha untuk mendapatkan sejumlah pelabur tambahan serta pelanggan penyedia perkhidmatan awan berskala besar bagi menyokong rancangan pembangunan projek mega itu.

 

Petros, sebagai wakil kepentingan Sarawak, akan menyumbang melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta peranannya sebagai pemaju induk Hab Rendah Karbon Kuching (Kuching Low-Carbon Hub) bagi memperkukuh infrastruktur tenaga dan perindustrian negeri.

 

Jelasnya, sumber tenaga serta kapasiti penjanaan elektrik sedia ada Sarawak menyediakan asas kukuh bagi pembangunan projek berkenaan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia AI Nation 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

 

Apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka menjadi antara pembangunan infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia, dengan menyediakan keupayaan pengkomputeran termaju kepada kerajaan, syarikat multinasional dan sektor perniagaan.

 

Projek berkenaan turut dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu dalam ekonomi digital dan industri teknologi bernilai tinggi serantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved