
PETALING JAYA: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jamain Wahab mengesahkan kemenangan itu sekitar pukul 10.10 pagi tadi.
Abang Johari berkata, kejayaan mempertahankan kerusi Gedong tanpa bertanding memberi isyarat bahawa rakyat Sarawak menaruh kepercayaan terhadap pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, keyakinan itu turut mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri mengurus pembangunan Sarawak khususnya dalam melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Beliau turut berterima kasih kepada penduduk Gedong atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk meneruskan rancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan itu sehingga 2030.
“Pertama, saya memanjatkan syukur kepada Allah kerana ada tanda-tanda keyakinan rakyat di Sarawak kepada pentadbiran GPS yang menguruskan pembangunan di negeri ini.
“Saya juga ucap terima kasih kepada orang Gedong kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menguruskan bersama rancangan yang sedang dilaksanakan hingga ke tahun 2030,” katanya hari ini.
Pada PRN Sarawak sebelum ini, Abang Johari memenangi kerusi Gedong buat kali pertama dengan majoriti 3,607 undi dalam saingan empat penjuru selepas mewakili DUN Satok selama sembilan penggal.
Pada PRN kali ini, GPS meletakkan calon di kesemua 82 kerusi selepas memenangi 76 kerusi pada 2021.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh pengundian awal manakala hari mengundi pada 12 Disember. – UTUSAN
The post Abang Johari menang tanpa bertanding di Gedong appeared first on Utusan Malaysia.






