Jeffrey perlu hormati hak politik rakyat: PKR Sabah

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 4:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Jeffrey perlu hormati hak politik rakyat: PKR Sabah

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak gesaan Presiden Star Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya parti itu tidak bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sambil menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak menentukan pilihan politik mereka sendiri.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, keputusan PKR Sarawak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dibuat berdasarkan pertimbangan politik di negeri itu dan tidak seharusnya dijadikan contoh untuk diikuti Sabah.

“Jika beliau (Jeffrey) benar-benar menjunjung prinsip autonomi politik Sabah, beliau juga perlu menghormati hak rakyat negeri ini dalam menentukan parti dan calon yang layak mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Jeffrey menyambut baik keputusan PKR Sarawak untuk tidak menyertai PRN Sarawak ke-13 dan menggesa parti itu mengambil pendirian sama di Sabah, termasuk tidak bertanding pada PRN serta PRU akan datang.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman PKR Sarawak pada 24 Nov lepas bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRN kali ini sebagai tanda menghormati kerjasama dan persefahaman politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Peto berkata, masih terlalu awal bagi PKR Sabah membuat sebarang keputusan mengenai penyertaan parti itu dalam PRU16 memandangkan tarikh pilihan raya belum dimuktamadkan.

Katanya, keutamaan pimpinan parti ketika ini adalah meneruskan agenda pembangunan negara serta memastikan hasil dan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata, PKR Sabah bukan parti baharu yang hanya muncul menjelang pilihan raya, sebaliknya ditubuhkan serentak dengan PKR di peringkat nasional dan terbabit sejak awal dalam pembentukan parti itu.

“Penglibatan Sabah sejak penubuhan PKR turut mencerminkan semangat pembentukan Malaysia yang menyaksikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.

“PKR Sabah juga membawa agenda reformasi yang jelas, khususnya dalam memastikan pentadbiran telus mengurus peruntukan, cekap menyelesaikan masalah serta bertanggungjawab kepada rakyat.

“Di peringkat Persekutuan, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan pelbagai parti dalam Kerajaan Madani, sekali gus mewujudkan kestabilan politik bagi melaksanakan agenda reformasi,” katanya.

Bekas Adun Inanam itu berkata, amalan tadbir urus yang baik turut membantu memastikan bantuan dan peruntukan kerajaan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Di Sabah, katanya, kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memperkukuh kestabilan politik, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.

Malah, katanya, kerjasama politik itu turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus hasil Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan dalam penyelesaian perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang sedekad lalu.

Dalam pada itu, Peto berkata, kedudukan ibu pejabat sesebuah parti politik bukan satu-satunya jaminan bahawa pembangunan infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah akan bertambah baik.

“Sebaliknya, perkara lebih penting ialah komitmen dan kemampuan sesebuah parti untuk menyampaikan perkhidmatan berkesan serta memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved