Abang Rexy calon utama ganti Nova?

2 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Abang Rexy calon utama ganti Nova?

PETALING JAYA: Kekosongan yang ditinggalkan Nova Widianto bersama skuad beregu campuran negara dijangka membuka lembaran baharu buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila nama bekas ketua jurulatih beregu campuran Indonesia, Rionny Mainaky mula disebut sebagai calon utama menggantikan tempat tersebut.

Spekulasi itu timbul selepas BAM dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) hampir serentak mengumumkan Nova serta Rionny melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa kelmarin, sekali gus mencetuskan andaian berlaku pertukaran jurulatih antara dua kuasa badminton Asia itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky bagaimanapun mendedahkan keputusan Nova meninggalkan Malaysia bukan dibuat secara mengejut, sebaliknya selepas jurulatih dari Indonesia itu berbincang bersama keluarga mengenai peluang kembali menyertai PBSI.

“Sebelum ini Nova beritahu saya dia mahu terus kekal di sini, tetapi dia kata perlu berbincang dahulu dengan ibu dan keluarganya.

“Selepas itu dia beritahu ibunya meminta dia pulang dan jika ada peluang untuk kembali menyertai PBSI, dia perlu mengambil peluang tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nova dijangka kembali menyertai PBSI sebagai ketua jurulatih beregu campuran bagi menggantikan Rionny yang juga merupakan abang Rexy, manakala tugasan di BAM kini dipangku penolong jurulatih, Lutfi Zaim Khalid sehingga badan induk itu memutuskan pengganti tetap.

Dalam kenyataan rasmi pada Khamis, PBSI mengesahkan Rionny bersama penolong jurulatih, Amon Sunaryo telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama dengan badan induk badminton Indonesia itu.

“PBSI bersama ketua jurulatih beregu campuran, Rionny Mainaky dan penolong jurulatih, Amon Sunaryo telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama,” kata kenyataan tersebut.

Perkembangan itu menguatkan lagi spekulasi Rionny bakal berhijrah ke BAM, namun badan induk badminton negara itu masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai pengganti Nova. – UTUSAN

The post Abang Rexy calon utama ganti Nova? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved