Abdul Aziz dilantik timbalan ketua polis negara

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 2:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Abdul Aziz dilantik timbalan ketua polis negara

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu.

Beliau menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan itu dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz, 59, dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau ditempatkan di pelbagai jabatan antaranya Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Abdul Aziz juga pernah ditempatkan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Selaras dengan pengalaman kepakaran yang dimiliki, beliau juga berkhidmat di pelbagai jawatan strategik PDRM antaranya Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu sebelum memegang jawatan Pengarah Pengurusan Bukit Aman.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved