
KOTA BHARU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menepis dakwaan yang mengatakan beliau mempunyai peranan untuk campur tangan dalam keputusan-keputusan di peringkat pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas adalah sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi dan memutuskan setiap perkara di dalam mesyuarat terbuka.
Katanya, konsep diamalkan oleh Pas adalah berlainan daripada sesetengah parti politik lain yang menetapkan hanya pemimpin boleh membuat keputusan dan perlu dituruti.
“Tak betul (dakwaan campur tangan pentadbiran PN). Kita buat keputusan secara mesyuarat. Kita mengamalkan demokrasi dan bermesyuarat secara terbuka.
“Dalam Pas ini mungkin berbeza sedikit. Sesetengah parti, dia dengan pemimpin, semua ‘yes’. Kita ini boleh beri pandangan secara terbuka,” katanya selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, Abdul Hadi melanggar keputusan Majlis Tertinggi PN apabila mengumumkan Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau juga berpandangan Pas bertindak secara unilateral apabila mengumumkan Wawasan akan menggunakan logo PN untuk bertanding dalam pilihan raya. – UTUSAN
The post Abdul Hadi nafi ‘campur tangan’ dalam PN appeared first on Utusan Malaysia.





