Muktamar: Pas bersama kerajaan PN Perlis demi teruskan amanah rakyat, bukan sebab jawatan

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 7:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muktamar: Pas bersama kerajaan PN Perlis demi teruskan amanah rakyat, bukan sebab jawatan

KOTA BHARU: Keberadaan Pas dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis bukan berasaskan jawatan semata-mata, sebaliknya demi memikul tanggungjawab besar dalam meneruskan amanah rakyat.

Perwakilan Pas Perlis, Solahudin Azmi berkata, kemenangan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah permulaan kepada amanah bagi memastikan manifesto serta komitmen gabungan itu dapat diterjemah dalam bentuk pembangunan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, keberadaan Pas di dalam kerajaan negeri Perlis, penting untuk mewujudkan elemen semak dan imbang menerusi budaya saling menasihati serta melengkapi.

“Keseimbangan tersebut bukan bermaksud bersaing untuk menguasai kerajaan.

“Pas lebih kepada mahu menyumbang, bukan mendominasi serta memperkukuh, bukan melemahkan dan memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Kekuatan PN bukan hanya diuji ketika pilihan raya, tetapi bagaimana kita menguruskan perbezaan, menyelesaikan konflik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok selepas bergelar kerajaan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai hubungan timbal balik antara parti dan kerajaan, Solahudin merangkap Yang Dipertua Pas kawasan Arau berkata, ia perlu sentiasa dipandu oleh prinsip perjuangan yang seimbang.

Katanya, parti berperanan membawa dasar dan haluan, manakala kerajaan bertanggungjawab melaksanakannya melalui pentadbiran yang profesional serta mematuhi undang-undang.

“Kita tidak mahu parti hanya kuat ketika menghadapi pilihan raya, tetapi semakin jauh daripada penentuan dasar setelah kerajaan dibentuk. Namun dalam masa yang sama, parti tidak seharusnya terlalu mencampuri urusan operasi sehingga menjejaskan profesionalisme pentadbiran,” katanya.

Katanya, peluang mentadbir kerajaan pada hari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan PN Perlis untuk membina rekod pentadbiran yang bersih dan berkesan sebagai persiapan mendepani pilihan raya akan datang.

“Apabila tiba waktunya kita serahkan kembali mandat kepada rakyat. Biarlah kita datang bukan sekadar membawa janji baharu, tetapi membawa rekod cemerlang tentang apa yang telah kita berjaya tunaikan,” katanya.-UTUSAN

The post Muktamar: Pas bersama kerajaan PN Perlis demi teruskan amanah rakyat, bukan sebab jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved