Buktikan ADUN Pas dilayan seperti pembangkang, hubungan dengan Pas Perlis baik- MB

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 3:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Buktikan ADUN Pas dilayan seperti pembangkang, hubungan dengan Pas Perlis baik- MB

KANGAR: Dakwaan Pemuda Pas Perlis bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu di negeri ini dilayan seperti pembangkang tidak berasas sama sekali.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pentadbiran negeri ini sentiasa bergerak atas semangat setiakawan Perikatan Nasional (PN) malah setiap keputusan dasar diputuskan secara bersama melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

“Buktikan dakwaan dilontarkan oleh perwakilan Pemuda Pas Perlis itu yang juga merupakan menantu kepada bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

“Desakan Pemuda Pas Perlis untuk mengambil tindakan tegas kepada saya juga adalah tidak berasas, bersifat emosi dan bermotifkan agenda peribadi segelintir pihak yang kecewa,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan desakan Pemuda Pas Perlis semasa ucaptama bersempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat Kali Ke-67 yang menggesa agar pucuk pimpinan Pas dan PN mempertimbangkan tindakan tegas terhadap Abu Bakar berikutan didakwa semakin mencalarkan imej gabungan itu di negeri ini.

Perwakilannya, Ali Na’imi Ahmad Azizi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana Perlis ditadbir kerajaan PN bersama Pas, namun wakil rakyat daripada Pas didakwa dilayan seperti pembangkang.

Katanya, kerajaan negeri turut didakwa mengambil tindakan terhadap beberapa lantikan politik daripada Pas, termasuk Ahli Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs).

Abu Bakar berkata, pengguguran atau pertukaran beberapa lantikan politik sebelum ini seperti ahli majlis dibuat demi membaiki kecekapan dan salah laku yang berlaku.

“Ahli majlis dilantik bukan untuk menyerang pimpinan dan kerajaan negeri sebaliknya membantu kita . Saya mendapat maklum balas dari pihak ahli majlis sendiri sebelum tindakan diambil secara aturan dan bukan atas dasar sesuka hati.

“Malah, daripada dua lantikan digugurkan itu, masih ada seramai sembilan ahli majlis daripada Pas, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula hanya tujuh manakala baki selebihnya adalah daripada badan bukan kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah dan golongan profesional,” katanya.

Ujar Abu Bakar, beliau juga mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan Pas Perlis dan isu tersebut hanya membabitkan kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar sebelum ini.

“Pimpinan dan semua jentera wajib kembali beristiqamah dan fokuskan tenaga untuk persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) malah hubungan saya dengan kepimpinan Pas Perlis juga tiada masalah dan harmoni,” katanya.-UTUSAN

The post Buktikan ADUN Pas dilayan seperti pembangkang, hubungan dengan Pas Perlis baik- MB appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved