
PETALING JAYA – Kejohanan Golf Bisnes Asia (ABGC) akan diteruskan pada tahun hadapan selepas pihak penganjur mendapati acara yang julung-julung kali diadakan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan luar negara.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Salim Mohamed Sain berkata, pihaknya berbesar hati kerana menerima penyertaan peserta dari China, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia.
Katanya, selain menyertai kejohanan golf, mereka juga mencari peluang pelaburan dalam perniagaan di negara ini selain mewujudkan jaringan persahabatan.
“Kerjasama baik yang ditunjukkan oleh semua peserta baik daripada syarikat tempatan mahupun luar negara pada Grand Final ABGC menjadi perintis kepada pihak penganjur, Elora Global Sdn. Bhd. untuk terus menganjurkan kejohanan pada tahun hadapan.
“Semua peserta memberi sokongan dan sambutan yang padu dan mereka berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan. Insya-Allah pada tahun hadapan kejohanan ini akan diteruskan dan mungkin pusingan kelayakan akan ditambah menjadi sembilan pusingan berbanding tujuh pusingan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bagi meraikan pemenang Grand Final ABGC 2026 di The Els Club Teluk Datai, Langkawi baru-baru ini.
Pada acara itu, kumpulan Super Cars daripada Porsche, Ferrari, McLaren, Maserati, Lamborghini dan Aston Martin turut menyertai kejohanan tersebut bersama 90 pemain dengan 28 adalah peserta manakala bakinya wakil-wakil dari luar negara dan syarikat penaja.
ABGC 2026 dimulai dengan ilham Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Menurut Mohd. Salim, wakil dari Vietnam menunjukkan minat untuk mengadakan edisi antarabangsa pada masa akan datang.
Pasukan dari AJS Niaga, Mohamad Azim Syahmi dan Sharul Nizam Mohamed muncul juara bagi kategori gross selepas mencatat 70 pukulan keseluruhan dalam pertandingan menggunakan format two ball best ball. Mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan barangan tajaan Panasonic Malaysia.
Tempat kedua gross menjadi milik wakil Insight Alliance Capital Sdn. Bhd., Dato’ Shamsul Azman Mahadi dan Mohamad Hisham Sarjeet Abdullah dengan skor 71. Manakala tempat ketiga milik Megat Shariffudin Shaharuddin dan Md. Khairul Sarbany@Sulaiman dari Infrasel dengan 71 pukulan (OCB).
Bagi kategori nett, pasangan Nur Misuari Abd. Rahman (handikap 5) dan Abi Sufyan Zainudin (2) dari Dsevenfour Ventures dinobatkan sebagai juara selepas merekod skor 66 pukulan, mengatasi pemain dari Elizon Construction Sdn. Bhd., Dato’ Danion Lewis dan Gipson Lewis yang mencatat 67 pukulan, kelebihan satu pukulan.
Di tempat ketiga pula menjadi milik Nor Azhar Mohamad Noor dan Mohamed Izzad Ibrahim Mohamed Jagkeira dengan skor 81 pukulan.
Kesemua pemenang menerima hadiah tajaan Bridgestone, Panasonic Malaysia serta trofi.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Langkawi turut memberikan sokongan bersama kepada ABGC Grand Final di Langkawi dengan menaja Majlis Makan Malam di Ramada by Wyndham Langkawi Marina.
Antara penaja yang menjayakan kejohanan itu ialah Kueen Lai Group, Konsortium Jaringan Selangor, Enotech, Panasonic, Spectrum Outdoor dan Kusel serta rakan industri lain.
The post ABGC bakal jadi sembilan pusingan tahun depan appeared first on Kosmo Online.


