
SANDAKAN: Sandakan dan Kinabatangan bakal diketengahkan menerusi program promosi pelancongan berskala lebih besar tahun depan susulan sambutan menggalakkan terhadap program Hunt and Explore 2026 yang menarik lebih 100 peserta dari seluruh Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama Tourism Malaysia itu berjaya mempromosikan tarikan pelancongan di Sandakan dengan penyertaan pempengaruh yang turut membantu mengetengahkan destinasi di daerah berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluaskan program itu tahun depan dengan perbincangan sedang dijalankan bagi memasukkan Kinabatangan, yang seperti Sandakan terkenal dengan persekitaran semula jadi dan tarikan hidupan liar.
“Saya amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai menerusi program ini. Kami sudah bersetuju dengan Tourism Malaysia untuk menganjurkan acara lebih besar tahun depan, yang berpotensi merangkumi Sandakan dan Kinabatangan,” katanya.
Jafry berkata inisiatif itu bertujuan mengetengahkan kedua-dua daerah sebagai destinasi pelancongan tersendiri di Sabah, khususnya bagi pengunjung yang berminat dengan alam semula jadi, hidupan liar dan pemuliharaan.
Beliau berkata Sandakan menempatkan beberapa tarikan pemuliharaan terkenal, termasuk Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, program pemuliharaan penyu di Pulau Selingan dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo.
Sementara itu, Kinabatangan sememangnya sudah menarik kehadiran pelancong, khususnya dari Eropah yang tertarik dengan kepelbagaian biodiversiti serta pengalaman melihat hidupan liar di kawasan berkenaan.
Jafry berkata cadangan peluasan program itu akan membuka lebih banyak peluang untuk mempromosikan kedua-dua daerah kepada pelancong domestik dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Mengulas mengenai Belanjawan Persekutuan, beliau menyambut baik peruntukan pembangunan untuk Sabah serta inisiatif yang bertujuan memperkukuh industri pelancongan negeri.
Beliau berkata hubungan pengangkutan kekal sebagai faktor utama dalam pertumbuhan pelancongan, sambil menambah bahawa insentif bagi penerbangan sewa khas boleh membantu membawa lebih ramai pelancong antarabangsa ke Sabah.
Jafry berkata, beliau berharap Sandakan akhirnya dapat memperoleh sambungan penerbangan antarabangsa secara terus seperti yang sudah tersedia di Kota Kinabalu dan Tawau.
“Sandakan mempunyai potensi besar dari segi sejarah dan persekitaran semula jadinya yang boleh kita tawarkan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau menambah penambahbaikan hubungan penerbangan akan membantu mengukuhkan kedudukan Sandakan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa serta memudahkan pelancong dari luar negara mengunjungi tarikan pelancongan di daerah itu.
Mengenai persiapan bagi Tahun Melawat Sabah 2027, Jafry berkata kementeriannya berada pada peringkat akhir untuk menubuhkan sekretariat acara berkenaan.
Beliau berkata perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dijangka diadakan menjelang akhir Oktober bagi memperhalusi program itu termasuk aktiviti promosi.
Beliau menambah kementerian itu turut merancang untuk mengadakan majlis pelancaran menjelang akhir tahun ini diikuti kemungkinan penganjuran acara promosi berskala besar di Semenanjung Malaysia pada awal tahun depan.





