ABIM sokong Musyawarah Parti Islam, Melayu dan Bumiputera

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 12:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik inisiatif penganjuran Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera bagi bertukar pandangan mengenai kepentingan bersama.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, usaha menghimpunkan pelbagai parti daripada latar politik yang berbeza untuk berdialog secara terbuka merupakan langkah positif dalam menghidupkan budaya musyawarah serta memperkukuh semangat politik budiman dalam kehidupan bernegara.

Menurutnya, dalam masyarakat demokratik, perbezaan pandangan politik adalah lumrah, namun ia sewajarnya diurus dengan hikmah dan adab demi mencari titik pertemuan dalam perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

“Dalam tradisi Islam, usaha membina persefahaman dan kerjasama demi kebaikan bersama merupakan satu tuntutan agama. Firman ALLAH SWT: ‘Dan hendaklah kamu saling bekerjasama dalam perkara kebajikan dan ketakwaan’ (Surah al-Ma’idah: 2),” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

ABIM berpandangan, usaha seperti ini wajar memberi tumpuan kepada cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat termasuk pendidikan berkualiti, pembangunan generasi muda, mobiliti sosial, keadilan ekonomi serta tadbir urus berintegriti.

Politik budiman menuntut perbezaan politik diurus dengan bijaksana tanpa menimbulkan polarisasi masyarakat atau mengeksploitasi sentimen agama dan kaum.

Ahmad Fahmi menambah, dialog mengenai kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera juga wajar membuka ruang kepada keterlibatan masyarakat madani termasuk NGO Islam, institusi ilmuwan dan gerakan belia bagi memastikan wacana yang terhasil lebih menyeluruh serta mencerminkan aspirasi rakyat.

Bertepatan dengan semangat Ramadan yang mendidik umat kepada nilai kesederhanaan, keikhlasan dan muhasabah diri, ABIM menyatakan kesediaan untuk turut menyumbang pandangan serta bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya dialog, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.