
KUALA LUMPUR – Lapan parti politik utama negara yang berteras Islam, Melayu dan Bumiputera berhimpun semeja dalam satu pertemuan khas yang berlangsung malam tadi.
Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya.
Menurut beliau, pertemuan tersebut diadakan menerusi Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Antara parti politik yang terlibat dalam pertemuan berkenaan ialah UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan AMANAH. Turut serta ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) serta Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Menurut Asyraf Wajdi, pertemuan tersebut bertujuan mencari titik persefahaman dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera.
“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk mempengerusikan Musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau.
“Ia bagi menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang, demi maslahah ummah dan Islam,” katanya.
Parti politik harus bersatu dalam isu kepentingan bersama
Beliau turut menjelaskan bahawa perbezaan pandangan antara parti kerajaan dan pembangkang adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.
Namun katanya, apabila melibatkan kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, perkara tersebut seharusnya menjadi titik pertemuan yang mampu menyatukan semua pihak melangkaui perbezaan politik kepartian.
Dalam masa sama, wakil parti yang hadir turut mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Penubuhan sekretariat itu bertujuan menjadi platform perbincangan, perundingan dan dialog terbuka secara berterusan bagi membincangkan isu berkepentingan bersama berkaitan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini. – The Malaysian Update
The post Lapan Parti Politik Berteras Islam, Melayu dan Bumiputera Berhimpun Dalam Satu Musyawarah appeared first on The Malaysian Update.
