johardy19/10/2026 - 09:00 Datuk Ng Yih Pyng - Gambar Sin Chew Daily Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) mahu syarikat asing, khususnya dari China yang menjalankan perniagaan di negara ini mematuhi piawaian sama seperti syarikat tempatan bagi memastikan persaingan berlangsung secara adil.
Presidennya, Datuk Ng Yih Pyng berkata, pematuhan itu merangkumi pendaftaran perniagaan serta keperluan berkaitan levi pekerja asing, pensijilan SIRIM dan cukai.
Beliau menegaskan ACCCIM menyambut baik pasaran bebas dengan syarat persaingan berlangsung secara adil dan mematuhi peraturan.
“Syarikat asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia mesti berdaftar. Ini bukan untuk menyukarkan mereka tetapi merupakan keperluan asas,” katanya dalam wawancara bersama Sin Chew Daily.
Menurut Ng, pendaftaran membolehkan kerajaan memperoleh data untuk menentukan industri yang memerlukan perlindungan dan industri yang boleh terus dibuka kepada persaingan.
Beliau berkata, kemasukan syarikat dari China membawa persaingan langsung serta peluang kerjasama kepada perniagaan tempatan, termasuk dalam sektor fotovoltan solar dan pembuatan.

Persaingan melangkaui harga
Ng berkata, sebahagian besar produk fotovoltan solar yang digunakan di Malaysia berasal dari China, sekali gus membuka ruang kerjasama antara syarikat China yang mempunyai teknologi dengan syarikat Malaysia yang memiliki aset tanah.
Sebahagian syarikat China turut membina kilang dan membentuk usaha sama dengan syarikat tempatan untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pengembangan ke ASEAN serta pasaran global.
Menurut beliau, China mempunyai ekosistem perindustrian lebih lengkap yang menawarkan bahan tidak tersedia di pasaran tempatan, pilihan pereka lebih luas serta kilang dengan kelebihan harga.
“Persaingan bukan sekadar mengenai harga tetapi turut melibatkan pengalaman pelanggan dan nilai untuk wang, sekali gus memberikan cabaran lebih besar kepada perniagaan tempatan,” katanya.
Berhadapan syarikat asing yang mempunyai kecekapan, teknologi dan rantaian bekalan, Ng menyarankan syarikat tempatan menyesuaikan pemikiran serta sikap, selain meneroka peluang kerjasama dengan pembekal dari China.
Beliau berkata, perubahan selepas pandemik turut meluaskan sempadan perniagaan apabila syarikat Malaysia boleh memasuki pasaran lebih besar, manakala syarikat asing boleh bersaing dalam pasaran domestik.
Bakat menjadi cabaran terbesar
Ng mengenal pasti bakat sebagai cabaran terbesar perniagaan kerana perubahan operasi memerlukan kemahiran berbeza, termasuk dalam automasi, Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, pembangunan bakat dan pengumpulan pengalaman mengambil masa serta tidak boleh diwujudkan dalam sekelip mata. Pada masa sama, perubahan rantaian bekalan dan konflik geopolitik turut menyebabkan kos bahan mentah tidak menentu.
Beliau berkata, perniagaan tradisional Cina dahulunya mengutamakan hubungan peribadi, rangkaian kenalan dan kepercayaan yang dibina bersama pembekal lama, tetapi prestasi, keupayaan serta kualiti kini menjadi keutamaan.
“Hari ini, integriti dan kerja keras hanyalah syarat asas. Tidak bekerja keras tidak akan membawa kejayaan tetapi bekerja keras juga tidak menjaminnya. Model perniagaan sentiasa berubah dan syarikat mesti bergerak seiring perkembangan zaman,” katanya.
Ng bagaimanapun menegaskan bukan semua sektor perlu berubah menjadi syarikat teknologi. Sebaliknya, pengalaman sedia ada perlu digabungkan dengan teknologi baharu untuk mencari rakan niaga dan membuka pasaran.
Pengilang, katanya, boleh meningkatkan produktiviti menerusi automasi dan pendigitalan, manakala peniaga boleh membangunkan jenama sendiri serta saluran pasaran luar negara. Perniagaan perkhidmatan pula boleh menggunakan platform digital untuk memasuki pasaran baharu.
Malaysia sebagai pangkalan pengembangan
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau menyarankan penerokaan insentif kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ng berkata, syarikat Malaysia kini boleh menempatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, perolehan, peruncitan serta khidmat pelanggan di negara berbeza dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menghubungkan ASEAN dan pasaran global.
Menurut beliau, latar masyarakat berbilang budaya serta penguasaan bahasa Mandarin, Inggeris, Melayu dan pelbagai dialek memberikan usahawan Cina Malaysia kelebihan untuk menyesuaikan diri serta membina kepercayaan dalam pasaran ASEAN.
Namun, generasi muda perlu terus meluaskan pandangan antarabangsa, memperkukuh keupayaan profesional, menguasai teknologi dan meningkatkan kemahiran komunikasi rentas budaya.
Beliau berkata, hubungan baik Malaysia dengan ekonomi utama serta pelbagai perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai boleh dimanfaatkan usahawan Cina Malaysia ketika rantaian bekalan disusun semula susulan perkembangan geopolitik.
Beliau turut mengenal pasti makanan halal, industri hiliran plastik, pembangunan hiliran nadir bumi dan tenaga hijau sebagai bidang berpotensi yang wajar diteroka berdasarkan kekuatan Malaysia. — DagangNews.com






