Acer Malaysia hari ini telah memperkenalkan sebuah produk paparan skrin pintar untuk pasaran tempatan yang dinamakan Acer CA1 FreeMove Smart Monitor. Paparan skrin ini unik dilihat unik berbanding dengan penawaran banyak penawaran paparan Acer kerana ia tampil terbina dengan sistem operasi Android 14, mempunyai fungsi skrin sesentuh dan boleh dibawa kemana-mana dengan menolak tapaknya yang beroda.

Paparan Acer CA1 FreeMove ini juga tampil dengan dua saiz paparan skrin yang berbeza. Model Acer FreeMove CA321QK hadir dengan saiz paparan 31.5 inci yang juga hadir dengan resolusi 4K dengan kadar segar semula 60Hz, manakala model Acer FreeMove CA271 pula hadir dengan saiz 27 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula yang sama.


Kedua-dua paparan ini menggunakan panel VA (Vertical Alignment) dan mempunyai sudut pandangan 178 darjah, dengan nilai kecerahan 250 nit untuk model 31.5 inci dan 260 nit untuk model 27 inci. Kedua-dua paparan ini juga boleh ditetapkan dalam keadaan mendatar secara lalai, dan dipusing 90 darjah untuk tetapan dalam keadaan menegak.


Acer CA1 FreeMove dikuasakan oleh sistem operasi Google Android, dan dari segi sambungan, pengguna boleh menyambungkan komputer mereka menggunakan palam HDMI ataupun menggunakan sambungan nirwayar Miracast untuk memancarkan paparan dari komputer riba ataupun peranti ke paparan skrin ini.

Acer Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua model paparan pintar bergerak Acer CA1 FreeMove ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan. Acer FreeMove CA321QK kini sudah mula dijual pada harga RM3499, manakala Acer FreeMove CA271 pula dibuka sebagai tawaran pra-tempah buat masa ini pada harga RM2699.




