Pada tahun lepas, Acer merupakan jenama komputer pertama yang telah memperlihatkan penawaran model yang menggunakan cip pemprosesan komputer riba akan datang Intel, iaitu Intel Core Ultra Series 3, “Panther Lake”.
Terkini, di acara CES 2026, Acer telah memperlihatkan penawaran penuh komputer riba tersebut, yang terdiri daripada beberapa model komputer riba Acer Swift, termasuklah Acer Swift 16 AI, Acer Swift Edge 16 AI dan Acer Swift Edge 14 AI.
Acer Swift 16 AI dilihat hadir dengan penawaran sehingga Intel Core Ultra X9 388H, manakala Acer Swift Edge 16 AI dan Acer Swift 14 AI hadir dengan penawaran sehingga Intel Core Ultra 9 386H. Kesemua komputer riba ini akan hadir dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan storan SSD dengan pilihan storan 1TB dan 2TB bergantung kepada model.

Kesemua komputer riba ini hadir dengan paparan skrin OLED (16 inci untuk Acer Swift 16 AI, Acer Swift Edge 16 AI, 14 inci untuk Acer Swift Edge 14 AI) dengan resolusi 2880×1800. Dari segi sokongan palam pula, Acer mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, palam HDMI 2.1 dan palam audio 3.5mm.
Untuk sokongan sambungan nirwayar pula, ketiga-tiga komputer riba ini menyokong sambungan WiFi7 dan Bluetooth 5.4. Acer Swift 16 AI dilengkapi dengan bateri 70WHr, manakala Acer Swift Edge 16 AI dan Acer Swift Edge 14 AI dilengkapi dengan bateri 65WHr.
Komputer-komputer riba ini dijangka akan tiba di pasaran-pasaran terpilih menjelang suku pertama 2026. Dalam pada itu, Acer juga akan mengemakini penawaran Acer Swift Go mereka dengan cip pemprosesan Intel Panther Lake juga dan akan diperkenalkan sekitar suku kedua tahun ini.

