Siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 “Panther Lake” telah banyak diperkatakan pada tahun lepas, dan hari ini, Intel telah akhirnya melancarkan siri cip pemprosesan tersebut untuk pelbagai jenis komputer riba yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Siri cip pemprosesan ini hadir khusus untuk peranti kelas komputer riba, dari rekaan nipis dan ringan, gaming dan produktiviti. Kali ini, Intel tidak akan membezakan siri cip pemprosesan seperti siri sebelum ini, Lunar Lake untuk komputer riba nipis dan ringan dan Arrow Lake-H untuk komputer riba yang lain.

Untuk siri cip pemprosesan ini, Intel telah memperkenalkan sehingga 14 SKU cip pemprosesan yang terdiri daripada Intel Core Ultra X9 388H yang hadir dengan 16 teras fizikal ke Intel Core Ultra 5 322 yang mempunyai 6 teras fizikal.
Satu lagi pengenalan baru ialah cip pemprosesan grafik terbaru Intel, iaitu Intel Arc B390 dan Intel Arc Pro B390 yang hadir dengan 12 teras grafik Intel Xe3, yang merupakan kemaskini kepada arkitektur grafik Intel Battlemage yang diperkenalkan pada tahun lepas. Sebagai perbezaan, siri cip Lunar Lake hadir dengan lapan teras Intel Xe2.
Anda juga akan perasan bahawa model cip pemprosesan yang menggunakan cip grafik Intel Arc B390 ini hanyalah model dengan tanda nama Intel Core Ultra X.

Satu lagi perbezaan paling ketara ialah siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 ini tidak lagi hadir dengan cip memori DDR5 terbina seperti apa yang diperlihatkan pada siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake dan Lunar Lake untuk memberi syarikat-syarikat pembina peranti lebih banyak ruang untuk memasang jumlah memori yang difikirkan sesuai, dan juga kerana tanda harga cip memori yang semakin melonjak kebelakangan ini.
Tetapi, satu lagi perkara menarik ialah bergantung kepada model CPU yang digunakan, ia menyokong kedua-dua jenis memori LPDDR5 dan LPDDR5X. Akan tetapi, untuk model-model Intel Core Ultra X seperti Intel Core Ultra X9 388H dan Intel Core Ultra X7 368H, ia hanya akan menyokong memori LPDDR5X yang perlu dipateri pada papan induk.
Seperti biasa, Intel mengatakan bahawa siri cip pemprosesan Panther Lake mereka hadir dengan kemampuan yang jauh lebih hebat berbanding dengan penawaran Intel Lunar Lake dan juga Intel Arrow Lake-H mereka sebelum ini.

Dari segi kuasa pemprosesan, Intel Core Ultra X9 388H memperlihatkan peningkatan prestasi 60 peratus berbanding dengan Intel Core Ultra 9 288V dan 10 peratus lebih berkuasa berbanding dengan Intel Core Ultra 9 288H.
Dari segi kuasa pemprosesan grafik pula, Intel Arc B390 memperlihatkan peningkatan prestasi sebanyak 77 peratus apabila dibandingkan dengan Intel Arc 140V yang digunakan pada siri cip pemprosesan Intel Lunar Lake apabila diuji dengan 45 buah permainan komputer popular.

Malah, Intel turut mengatakan bahawa cip pemprosesan Intel Core Ultra X9 388H dengan cip pemprosesan grafik Intel Arc B390 hadir dengan prestasi sama seperti sebuah komputer riba yang menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 dengan penggunaan kuasa yang jauh lebih rendah.
Bercakap tentang jangkahayat bateri, Intel mengatakan bahawa cip Intel Core Ultra X7 358H boleh menstrim kandungan Netflix selama 16.5 jam dan ia akan hadir dengan prestasi bateri setanding dengan cip pemprosesan Intel Lunar Lake. Untuk model CPU terbaru, mereka juga akan hadir dengan Endurance Gaming Mode yang akan cuba untuk melanjutkan jangka hayat bateri ketika sesi gaming.

Bergantung kepada keperluan produktiviti, cip-cip pemprosesan Intel hadir dengan ciri penambahan kuasa yang boleh diubahsuai. Pada asasnya, semua cip-cip pemprosesan Intel Panther Lake ini boleh digerakkan pada kadar 25W, tetapi boleh dinaikkan ke 45W, 65W dan 80W sekiranya dimahukan.
Sebagai perbandingan, cip pemprosesan Intel Arrow Lake-H boleh menggunakan sebanyak 160W kuasa elektrik bergantung kepada konfigurasi yang digunakan. Cip Intel Panther Lake dilihat hadir dengan prestasi Intel Arrow Lake-H pada kadar penggunaan kuasa Intel Lunar Lake.

Dari segi sokongan teknologi, kesemua cip pemprosesan Intel Panther Lake hadir dengan 20 lorong sambungan PCIe Gen5, tetapi untuk model-model yang akan menggunakan cip grafik Intel Arc B390, ia akan menggunakan lapan daripada lorong-lorong tersebut. Sokongan untuk teknologi WiFi7 R2, Bluetooth Core 6 juga hadir pada semua cip-cip pemprosesan ini.
Dalam pada itu, semua cip-cip pemprosesan ini juga akan menyokong sehingga empat palam Thunderbolt 4 pada satu komputer riba, dengan beberapa daripada mereka juga memperlihatkan sokongan untuk Thunderbolt 5.
Di acara CES 2026, beberapa jenama seperti Acer, Dell dan HP akan memperlihatkan penawaran komputer riba terbaru mereka dengan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 ini.

