Acer Predator Triton 17 X Kini Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM18,999

TechnologyDigital
17 Aug 2023 • 3:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda mencari sebuah komputer riba yang hadir dengan spesifikasi dalaman yang boleh menandingi sebuah komputer gaming desktop yang berkuasa, Acer Malaysia hari ini mengumumkan kehadiran tempatan untuk komputer riba paling berkuasa mereka setakat ini, Predator Triton 17 X.

Komputer riba gaming gergasi ini hadir dengan paparan mini-LED bersaiz 17 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dan kadar segar semula 250Hz bersama-sama nilai kecerahan 1000 nit. Paparan ini juga mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan memenuhi keperluan DisplayHDR untuk menyokong teknologi olahan warna HDR secara terbina.

image is not available

Predator Triton 17 X ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-13900HX, memori DDR5 5600MHz sebanyak 64GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebanyak 4TB yang dipasang dalam konfigurasi RAID-0.

Dari segi penawaran GPU, Predator Triton 17 X ini dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 yang paling berkuasa oleh Intel setakat ini, dan mampu menggerakkan apa sahaja permainan komputer pada resolusi komputer riba ini dengan tetapan yang tinggi tanpa masalah.

image is not available

Dari segi rekaan, komputer riba ini mengekalkan rekaan minimalis komputer riba Predator sebelum ini, tetapi masih lagi menggunaan rangka yang dibina dari satu bongkah aluminum untuk memastikan bahawa semua orang tahu bahawa ini masih lagi sebuah komputer riba yang premium.

Predator 17 X juga tampil dengan sistem penyejukan yang boleh dikatakan paling sempurna setakat ini, dengan penggunaan sistem penyejukan kebuk wap, penggunaan tiga kipas penyejukan Aeroblade 3D Gen 5, bahan penyejuk cecair logam dan juga penebat haba yang memastikan bahawa semua komponen didalam komputer riba ini beroperasi pada suhu yang optimal.

image is not available

Pengguna komputer riba ini juga tidak perlu risau mengenai penawaran palam kerana komputer riba ini hadir dengan dua USB 3.2 Gen2, dua palam Thunderbolt 4, dan palam HDMI 2.1 yang cukup banyak untuk pelbagai jenis kegunaan.

image is not available

Menurut Acer Malaysia, komputer riba gaming Predator Triton 17 X ini sudahpun boleh dibeli bermula hari ini di Acer eStore dan Acer Concept Store di IOI City Mall, Putrajaya pada harga RM18,999. Setiap pembelian sewaktu acara promosi Acer Day berpeluang untuk memenangi kredit Touch’n’Go eWallet bernilai RM250, kod permainan komputer Overwatch 2 dan juga tiket ke Sydney, Australia untuk acara Intel Extreme Masters bernilai $4000.