Bersama-sama dengan pengumuman mengenai cip pemprosesan komputer riba AMD Ryzen 9 7945HX3D, ASUS turut memperkenalkan komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu ASUS ROG STRIX SCAR 17 X3D.
Siri komputer riba ROG STRIX SCAR cukup terkenal dikalangan gamer sebagai sebuah model komputer riba yang cukup berkuasa sekali, dan komputer riba terbaru ini dilihat sebagai iterasi terbaru mereka.

Bermula dengan paparan skrin, komputer riba ini dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi WQHD (2560 x 1440) yang mempunyai kadar segar semula 240Hz dan kebolehan untuk mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7945HX3D yang mempunyai 16 teras fizikal, 32 bebenang kuasa dan mempunyai kelajuan Boost Clock setinggi 5.4GHz. Ia juga dipadangkan dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan juga storan dalaman PCIe 4.0 sebesar 2TB.

Dari segi penawaran kad grafik, ia dikuasakan dengan hanya satu model kad grafik sahaja, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090 dengan memori GDDR6 sebanyak 16GB yang cukup berkuasa untuk menggerakkan semua permainan moden pada resolusi dan kadar segar semula natif komputer riba ini.
Dari segi sokongan palam, ia dilengkapi dengan dua palam USB 3.2 Gen2 Type-C, dua palam USB 3.2 Gen1 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam RJ-45 2.5Gbps. Bagi anda yang mahu menggunakan sambungan WiFi, ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi6E terbaru sekiranya anda memiliki sebuah penghala dengan sokongan untuk sambungan tersebut.

ASUS mengesahkan bahawa komputer riba ini akan mula dijual di beberapa pasaran terpilih bermula 22 Ogos ini, tetapi buat masa ini kami masih tidak mengetahui samada ASUS Malaysia akan membawa masuk komputer riba ini ataupun tidak.
- Sumber
- ASUS ROG
