'Ada asnaf jual barang sumbangan kepada warga asing' - PRIM

15 Mar 2026 • 1:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizul Kama (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil diperhatikan Mohamed Adib (dua dari kiri) sempena Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri PRIM di Dewan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Tasek pada Ahad.
image is not available
Mohamed Adib (barisan tengah, empat dari kanan) dan Azizul Kama (barisan tengah, tiga dari kanan) bersama penerima serta tetamu jemputan sempena Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri PRIM di Dewan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Tasek pada Ahad.

IPOH – Persatuan India Muslim Perak (PRIM) mendedahkan terdapat segelintir penerima bantuan dalam kalangan asnaf menjual barangan sumbangan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah berkata, pihaknya menerima maklumat tahun lalu terdapat dua keluarga yang menerima bantuan makanan bertindak menjual barangan tersebut kepada warga asing sebaik sahaja selesai sumbangan diserahkan.

Menurutnya, tindakan itu amat mendukacitakan kerana bantuan berkenaan disalurkan hasil sumbangan orang ramai kepada persatuan khusus untuk membantu golongan memerlukan membuat persiapan Aidilfitri.

"Barang yang kita beri itu untuk kegunaan keluarga mereka sempena hari raya, bukan untuk dijual. Kita susah payah kumpulkan sumbangan untuk asnaf.

"Apabila dapat tahu perkara itu berlaku, kita sangat sedih. Jadi tahun ini kita tidak memilih semula penerima terbabit,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sempena Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri PRIM di Dewan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Tasek di sini pada Ahad.

**media[3464038]**

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Mohamed Arib berkata, bantuan berupa barangan runcit bernilai kira-kira RM200 itu diagihkan kepada 130 keluarga terdiri daripada golongan B40, mualaf, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga miskin sekitar Ipoh.

Menurutnya, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan PRIM sejak tahun 2008 yang pada awalnya hanya melibatkan 10 hingga 20 keluarga sebelum meningkat kepada 130 penerima pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah penerima dijangka terus meningkat pada masa akan datang sekiranya persatuan memperoleh lebih banyak sumbangan.

Sementara itu, Azizul Kama berkata, program berkenaan merupakan sesi kedua bantuan yang dilaksanakan PRIM pada tahun ini dengan kerjasama DPMM Perak dan Masjid Muhammadiah.

Menurutnya, sesi pertama diadakan minggu lalu dengan barangan sumbangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), manakala bantuan pada Ahad disediakan sepenuhnya oleh PRIM.