‘Ada masa seseorang itu rasa rimas, mahu rehat sekejap’

Entertainment
29 Sep 2026 • 10:56 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Ada masa seseorang itu rasa rimas, mahu rehat sekejap’

KUALA LUMPUR – Tindakan aktres Noorkhiriah ‘menghilangkan diri’ daripada media sosial mengundang tanda tanya, pelakon Azhan Rani yakin rakan seperjuangan di arena seni itu dalam keadaan baik.

Azhan, 50, berkata keputusan pelakon terbabit menutup akaun Instagram bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana mungkin sekadar ruang mahu berehat seketika daripada hiruk-pikuk dunia maya.

“Bagi saya, tidak perlu risau sebab tiada masalah pun. Saya sendiri pernah tutup akaun media sosial dan kemudian buka akaun baharu. Ada masa seseorang itu rasa rimas dan mahu berehat sekejap.

“Mengenalinya, dulu pun dia pernah umum nak berhenti berlakon tetapi akhirnya kembali ke set. Emosi manusia ini adakala berubah, lebih-lebih lagi wanita.

“Paling penting sekarang kita tahu dia okey, itu sudah cukup. Kalau Noorkhiriah hilang, orang pertama yang bimbang tentu suaminya,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot, semalam.

Pada masa sama, Azhan turut menjelaskan persahabatan dengan aktres itu dianggap sesetengah pihak sebagai rapat namun hakikatnya hubungan mereka lebih kepada urusan kerja.

“Sebenarnya kami baik apabila ada projek bersama. Bukannya setiap hari kami berhubung atau WhatsApp. Kenapa buat begitu kalau tiada urusan? Masing-masing ada lingkaran sahabat sendiri.

“Cuma apabila timbul isu dia tutup media sosial ini, ramai bertanya kepada saya. Jawapan saya tetap sama, kami tidaklah serapat disangka kerana hanya akrab dalam naskhah sahaja,” ulasnya.

Berkongsi lebih lanjut, Azhan berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Noorkhiriah adalah ketika mereka sama-sama membintangi drama Seribu Tahun.

Katanya, mereka juga masih berada dalam satu kumpulan WhatsApp bersama kru produksi drama berkenaan, sekali gus membolehkannya mengetahui perkembangan rakannya itu.

“Kami ada WhatsApp produksi drama 1000 Hari. Jadi, apabila dia tukar nombor telefon baharu dan nombor lama sudah tidak aktif, kami tahu dari situ.

“Kawan lain dalam grup sama ada maklumkan bahawa dia sekarang sibuk menjalani penggambaran di Pahang. Maknanya dia okey,” katanya.

Terdahulu, akaun Instagram milik pelakon wanita itu sudah beberapa bulan tidak aktif sehingga mengundang pelbagai spekulasi. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Ada masa seseorang itu rasa rimas, mahu rehat sekejap’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved