SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyindir pihak yang berterusan mempersoalkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Hakikatnya, beliau berkata, parti kekal tenang meskipun keputusan tidak berpihak kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
"Ada orang keputusan tak keluar lagi dah merentan-rentan. Kami rileks jer walaupun keputusan tidak menyebelahi kami pun," katanya ketika menjawab pertanyaan pengguna media sodial di ruangan komen Facebooknya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menerusi hantaran asal di media sosialnya berkata, Pemuda UMNO menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke mesyuarat yang akan datang.
Menurutnya, proses berkenaan juga perlu dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak.
"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil maklum dan menjunjung kasih atas keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan.
"Kami menyeru semua pihak agar menghormati proses ini dan tidak mempolitikkan kuasa pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 menjadi tumpuan ramai susulan permohonan pengampunan Najib yang sebelum ini menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam proses pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri berkenaan.
Najib,73, sebelum ini telah memohon pengampunan diraja selepas disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara dalam kes SRC International.
Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan ketika itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.





