Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa terlalu banyak menguji perkara berkaitan prinsip, maruah serta sensitiviti Melayu dan Islam menjadi antara faktor UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PAS.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan mengubah jalur politik itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan sewajarnya meskipun ada pihak mempersoalkan kerjasama berkenaan.
“Jangan tanya UMNO, tanyalah PH. Mengapa berkali-kali mereka memaksa UMNO memilih antara kuasa dan prinsip.
“Kita masih ingat, ketika mereka mahu mendapatkan kuasa, bukan main lagi mereka menjunjung titah dan menghormati Raja-Raja Melayu. Tetapi apabila titah tidak lagi menepati selera politik mereka, hal bagi pun mereka sanggup cabar titah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Muhamad Akmal berkata, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara penting yang membabitkan kepentingan Melayu dan Islam, terutama apabila isu berkenaan terus disentuh.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendirian pemimpin PH berhubung tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan titah diraja.
“Di mana suara pemimpin-pemimpin PH yang lain? Mengapa diam? Apabila memerlukan raja titah dijunjung. Apabila titah menghalang kepentingan mereka, Raja pula mahu diajar,” katanya.





