
KUALA LUMPUR: Kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan menghalang Pemuda parti itu daripada mempertahankan Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya boleh bertolak ansur dalam politik, namun tidak dalam perkara yang menyentuh prinsip perjuangan tersebut.
“Jangan sangka kerana UMNO berada dalam kerajaan pada hari ini, Pemuda UMNO akan tunduk dan diam.
“Kami boleh bertolak ansur dalam politik, tetapi sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam soal Islam, Melayu dan Raja-Raja kita,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, jawatan boleh hilang dan kerajaan boleh bertukar, tetapi maruah Melayu, kesucian Islam serta kedaulatan Raja-Raja tidak akan digadaikan.
“Selagi darah masih mengalir dan nadi masih berdenyut, Pemuda UMNO akan terus melawan.
“Jawatan boleh hilang, kerajaan boleh bertukar, tetapi maruah Melayu, kesucian Islam dan kedaulatan Raja-Raja tidak akan sama sekali kami jual,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda UMNO mungkin dilihat agak agresif, namun ketegasan itu timbul kerana pihaknya tidak sanggup melihat kepemimpinan parti diperlakukan sedemikian rupa.
Katanya, Pemuda UMNO menghormati kuasa Raja-Raja dan segala perkara yang diperuntukkan kepada institusi tersebut.
“Pada masa sama, Pemuda bukan sekadar tempat untuk memikul amanah, sebaliknya perlu berani bersuara jika parti harus ditegur atau bangsa perlu dibela.
“Jika parti perlu ditegur, kita tegur. Jika bangsa perlu dibela, kita akan lawan.
“Pemuda bukan dididik untuk menjadi penakut. Pemuda dididik untuk berdiri, bekerja dan melawan habis-habisan,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Jawatan boleh hilang tapi prinsip tidak boleh digadai’ appeared first on Utusan Malaysia.






