
MELAKA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui terdapat pihak yang sukar menerima kemenangan beliau dalam pemilihan parti pada 2025, sebagaimana ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahannya pada 2022.
Katanya, sepanjang perjalanan politiknya, pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan setiap keputusan atau perkembangan yang berlaku, namun perkara itu tidak seharusnya menghalang seseorang daripada kekal berpegang kepada prinsip.
“Untuk sesetengah orang, tidak boleh diterima bahawa saya kalah pada 2022. Untuk sesetengah orang pula, tidak boleh diterima bahawa saya menang (jawatan Timbalan Presiden) 2025.
“Dan bagi yang lain, tidak boleh diterima bahawa saya meninggalkan (jawatan Timbalan Presiden PKR) pada 2026. Anda tidak boleh puaskan semua orang, tetapi anda hanya boleh jujur kepada diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Nurul Izzah yang kini diberikan cuti sementara daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden berkata, keputusan dalam perjalanan politik perlu dibuat berlandaskan prinsip dan amanah, bukan semata-mata bagi memenuhi kehendak atau persepsi semua pihak.
Menurut beliau, seseorang pemimpin perlu bersedia menerima pelbagai penilaian sama ada ketika menang, kalah mahupun apabila mengambil keputusan yang mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
Katanya, beliau memilih meneruskan perjuangan bukan hanya melalui wadah parti, malah dalam usaha membina masyarakat madani.
Nurul Izzah turut mengingatkan anggota PKR supaya sentiasa bermuhasabah dan berani menilai diri sendiri bagi memastikan perjuangan reformasi parti tidak tersasar daripada matlamat asalnya.
Katanya, agenda reformasi tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan amanah, keadilan dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Pada 6 Ogos lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti menolak permohonan Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden.
Sebaliknya, MPP PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk memberikan beliau cuti sementara.
Pada masa sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diputuskan menjalankan tugas Timbalan Presiden sepanjang ketiadaan Nurul Izzah.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebook selepas kenyataan berkenaan dikeluarkan, Nurul Izzah sekali lagi menegaskan hasratnya untuk melepaskan jawatan nombor dua parti itu.
Dalam hantaran tersebut, beliau tidak menyebut mengenai cuti sementara, sebaliknya merujuk Saifuddin sebagai Timbalan Presiden PKR dan bukannya individu yang hanya menjalankan tugas jawatan berkenaan. – UTUSAN
The post Ada orang tidak boleh terima saya menang Timbalan Presiden – Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.




