Jangan pukul rata ahli politik tidak sesuai pegang jawatan

Politics
14 Aug 2026 • 6:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan pukul rata ahli politik tidak sesuai pegang jawatan

SEREMBAN: Latar belakang politik seseorang tidak seharusnya menjadi ukuran untuk menghalang individu berkenaan daripada dilantik ke jawatan penting dalam sesebuah institusi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penglibatan individu berlatar belakang politik dalam sesebuah organisasi tidak boleh dilihat secara pukul rata sebagai sesuatu yang memberi kesan negatif terhadap institusi berkenaan.

Menurutnya, kesesuaian seseorang untuk memegang jawatan perlu dinilai berdasarkan latar belakang, kebolehan dan integriti individu terbabit.

“Dia tak boleh kita cakap serkap jarang semua. Kita tak boleh pukul rata atau buat kenyataan ‘blanket statement. Ada orang politik yang berjaya mengurus.

“Saya dulu mengurus sekejap, tapi tak pernah ada apa-apa. Jadi kita tak boleh kata orang politik. Orang yang tidak berpolitik pun kadang-kadang dalam organisasi mereka lagi teruk, lagi banyak hal yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk pada Program Ziarah Kasih Tok Mat di Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bahawa penglibatan ahli politik dalam jawatan dalam sesebuah organisasi boleh memberi imej negatif terhadap institusi itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dilaporkan mencadangkan supaya pelantikan Pengerusi dan anggota Lembaga TH tidak membabitkan ahli politik yang masih aktif bagi menjamin kebebasan serta integriti institusi berkenaan.

RCI berpandangan penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH boleh menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, proses pemilihan seseorang untuk mengisi jawatan penting dalam sesebuah organisasi perlu dibuat menerusi penelitian menyeluruh terhadap latar belakang dan kemampuan individu terbabit.

“Jadi terpulang kepada individu. Untuk meletakkan seseorang individu di mana-mana organisasi, satu siasatan yang lengkap perlu dibuat berkenaan latar belakang dan kebolehan.

“Kerana kebolehan dan integriti seseorang itu amat penting apabila kita mahu memilih dan meletakkan seseorang di tempat-tempat yang penting,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pengurusan TH ketika ini perlu mengambil iktibar daripada kelemahan tadbir urus yang didedahkan oleh  RCI.

Katanya, aspek tatakelola dalam institusi berkenaan perlu diperkasakan dan diperketatkan bagi mengelakkan perkara yang boleh memudaratkan institusi itu berulang.

“Jadi pengurusan Tabung Haji yang ada sekarang ini perlu mengambil iktibar supaya kelemahan tata kelola kerja di dalam organisasi tersebut perlu diperkasakan dan diperketatkan.

“Supaya tidak ada lagi berlakunya perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesuatu institusi,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan pukul rata ahli politik tidak sesuai pegang jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved