“Ada Persefahaman Dengan Kawan?” – Pemimpin MCA Persoal Dakwaan Kerjasama UMNO-PAS Dalam PRN N9

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 3:48 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Ada Persefahaman Dengan Kawan?” – Pemimpin MCA Persoal Dakwaan Kerjasama UMNO-PAS Dalam PRN N9

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiausaha Pemuda Agong MCA, Saw Yee Fung mempersoal dakwaan wujudnya persefahaman antara parti UMNO dan PAS dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook semalam (15 Julai) meminta penjelasan Barisan Nasional (BN) mengenai pendirian dalam membentuk sebarang kerjasama dengan PAS.

Saw Sudah Beritahu Pengundi, BN Tak Kerjasama Dengan PAS Untuk Sekat ‘Gelombang Hijau’

Saw berkata, beliau berasa keliru selepas pemimpin BN sebelum ini menegaskan bahawa gabungan itu tidak bekerjasama dengan PAS, namun kenyataan berbeza didakwa dikeluarkan semasa kempen di Negeri Sembilan.

“Dalam (kempen di) Johor seminggu lalu, saya berkali-kali memberitahu pengundi bahawa kami tidak bekerjasama dengan PAS dan untuk menyekat ‘gelombang hijau’, mereka perlu mengundi Barisan Nasional,” katanya.

Adakah MCA Dah Setuju Dengan Kerjasama UMNO & PAS? – Saw

Jelas Saw, pemimpin BN kemudiannya mengumumkan di pentas pengumuman calon bahawa terdapat persefahaman dengan ‘rakan-rakan’, manakala pemimpin PAS pula mengesahkan wujudnya kerjasama antara UMNO dan PAS.

Sebelumnya itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan memang wujudnya rundingan berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara kedua-dua parti malahan bersedia untuk menerima calon Menteri Besar daripada UMNO sekiranya kerjasama berjaya dimuktamadkan.

Susulan itu, Saw mempersoalkan sama ada sebarang ‘persefahaman’ seperti yang dinyatakan oleh Pemimpin UMNO dipersetujui oleh MCA termasuk barisan kepimpinan tertinggi parti ataupun sebaliknya.

Hanya Umum 25 Kerusi DUN Dipertanding BN Kerana ‘Persefahaman’ Dengan Rakan Politik

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, baki 11 kerusi DUN yang masih tiada calon, antaranya Sikamat, Gemas dan Paroi akan diumumkan kemudian.

Memetik Harian Metro, tindakan mengumumkan hanya 25 kerusi ditandingi BN bagi PRN Negeri Sembilan adalah berikutan dengan ‘persefahaman’ yang dibuat dengan rakan politik yang boleh dipercayai.

Apa Prinsip Yang Masih Dipertahankan? – Saw

Dalam pada itu, Saw juga mempersoalkan ke manakah perginya prinsip sekularisme dan demokrasi yang diperjuangkan partinya selama ini.

“Adakah kita kini menerima konsep pemerintahan teokratik? Adakah kita sudah memberi laluan kepadanya? Apa garis merah yang ada? Apa prinsip yang masih dipertahankan?

“Adakah semuanya kerana undi? Kerana jawatan? Kerana percaya gabungan ini mampu menang di kawasan bercampur? Kerana menganggap musuh kepada musuh ialah kawan? Atau kerana merasakan selagi DAP dapat ditewaskan, perkara lain tidak lagi penting?” soalnya.

Saw dalam masa sama turut berkata beliau sukar menerima pendekatan politik yang dilihat seolah-olah mengutamakan kemenangan pilihan raya sahaja atau kedudukan politik semata-mata.

“Maaf, saya mempunyai idealisme politik tersendiri dan saya tidak dapat bersetuju dengan perkara ini,” katanya.

Setakat ini masih belum sebarang respon dari kepimpinan BN atau MCA.

Sebagai info, daripada 25 kerusi DUN yang ditandingi BN dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, tujuh darinya akan diisi oleh calon dari MCA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved