
SUNGAI PETANI: Rakyat negara ini yang memandu di Thailand khususnya secara bermotosikal dinasihatkan mematuhi undang-undang negara itu termasuk memastikan kenderaan mengikut peraturan dan spesifikasi ditetapkan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, perkara itu penting bagi mengelak sebarang masalah dengan pihak berkuasa negara itu, terutamanya membabitkan pengubahsuaian motosikal dan penggunaan komponen yang tidak dibenarkan.
“Kalau kita hendak menunggang motosikal apa lagi di negara luar, yang pertamanya kita mesti mematuhi undang-undang tempatan di situ.
“Saya percaya undang-undang di negara jiran ini tidak jauh berbeza dengan kita,” katanya pada Program Amal Konvoi Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69, di sini hari ini.
Adzli berkata, aspek lesen serta spesifikasi dan komponen pada motosikal yang mendapat kelulusan perlu diberi perhatian oleh penunggang sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.
“Jadi nasihat saya, kalau kita hendak buat konvoi, ia perlu diuruskan secara betul dan lebih penting sekali, kita kena hormati undang-undang di negara yang berkenaan. Kita tidak boleh suka-suka hendak masuk macam itu, kita kena hormat peraturan tempatan,” ujarnya.
Menurutnya, pihak polis juga menjalankan operasi sitaan terhadap motosikal yang menggunakan komponen tidak dibenarkan termasuk ekzos, brek dan tayar yang tidak menepati spesifikasi.
Mengulas dakwaan rakyat Malaysia ditahan dan disaman pihak berkuasa negara jiran baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang ulasan kerana perkara itu sedang disiasat pihak berkuasa negara tersebut.
“Kalau yang ditahan rakyat kita dan daripada dakwaan (kesalahan) yang tidak berlaku, saya tidak boleh komen sebab yang siasat dan tahan ini adalah mereka (pihak berkuasa negara jiran). Biarlah mereka teruskan siasatan. Kita pun ada saluran tertentu, mungkin antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) tetapi kita kena hormat pihak berkuasa di sana,” jelasnya.
Terdahulu, seorang lelaki menerusi hantaran di Facebook mendakwa dia bersama sembilan peserta konvoi disaman polis Thailand di Hat Yai, baru-baru ini atas beberapa kesalahan melibatkan 12 saman bernilai kira-kira 12,000 baht.
Dia menyatakan ketidakpuasan hati apabila mendakwa ada yang disaman kerana ekzos bising, sedangkan ekzos motosikal tersebut adalah standard kilang.
Selain itu, ada juga yang disaman didakwa disebabkan kerana tidak membawa lesen memandu fizikal yang mempunyai gambar wajah, tiada geran dan insurans kerana tertinggal di bilik hotel serta memasang lampu belakang berkelip.
Lelaki itu mendakwa mereka akur dengan undang-undang Thailand, namun tindakan pihak berkuasa negara itu seolah-olah menyasarkan penunggang motosikal Malaysia untuk ditahan. – UTUSAN
The post Pengguna jalan raya perlu hormati undang-undang Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






