Ada yang tegur, muda lagi nak pakai tudung – Salina Saibi

4 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ada yang tegur, muda lagi nak pakai tudung – Salina Saibi

Pelakon, Salina Saibi, mengakui perjalanan untuk terus istiqamah selepas tampil berhijab bukanlah sesuatu yang mudah apabila bukan sahaja perlu berperang dengan bisikan syaitan, malah berdepan pelbagai pandangan dan komen sinis daripada segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya.

Lebih menyentuh hati, Salina berkata dia pernah menerima komen yang menyifatkan dirinya masih terlalu muda untuk mengenakan tudung, namun memilih untuk menjadikan kata-kata itu sebagai ujian yang menguatkan lagi azamnya untuk terus berubah ke arah yang lebih baik.

Menurut pelakon berusia 44 tahun itu, keputusan untuk berhijab hadir secara spontan selepas pulang mengerjakan umrah dan sehingga kini dia masih berusaha memperkukuhkan hati agar kekal dengan penampilan tersebut.

“Insya-Allah, doakan saya. Saya sebenarnya tak berani sangat nak cakap soal ini sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Saya cuma minta semua doakan saya supaya terus kuat.

“Selepas balik umrah, saya cuba kuatkan hati untuk terus bertudung. Hakikatnya iman saya ini lemah juga. Setiap kali saya pakai tudung, memang ada sahaja bisikan yang membuatkan saya berbolak-balik.

“Bukan sahaja bisikan syaitan, tetapi daripada diri sendiri juga. Mungkin sebab kita tahu bagaimana kehidupan kita dahulu. Kita bukannya baik sangat pun. Jadi setiap kali hendak keluar rumah, saya akan cari tudung dahulu.

“Alhamdulillah, saya anggap ini satu perkara yang positif untuk diri saya. Apa yang saya buat ini bukan kerana sesiapa, tetapi kerana Allah, diri saya sendiri dan juga suami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, suaminya juga tidak pernah mendesak atau memaksa dirinya untuk berhijab, sebaliknya memberi ruang untuk dia membuat keputusan sendiri.

“Suami saya tak pernah paksa saya. Bila dia nampak saya bertudung, dia cuma senyum sahaja. Dia tak pernah suruh atau mempengaruhi keputusan saya. Sebab itu saya yakin apa yang saya lakukan ini memang datang daripada hati sendiri kerana Allah,” katanya.

Mengulas lanjut, Salina berkata ujian terbesar bukan sahaja datang daripada dirinya sendiri, malah daripada kata-kata orang di sekeliling yang kadangkala tanpa sedar boleh menggugat semangat seseorang yang sedang berhijrah.

“Daripada manusia pun banyak juga dugaan sebenarnya. Adalah macam-macam komen yang saya terima. Paling saya rasa macam tertampar sampai ke hati apabila ada orang cakap, ‘Muda lagi nak pakai tudung’.

“Saya terus fikir, ‘Eh, biar betul kau cakap macam tu?’. Pada saya, kalau orang cakap begitu, seolah-olah menyuruh saya tangguhkan benda yang baik. Sedangkan kita sendiri tak tahu bila ajal akan datang.

“Saya percaya perkara seperti itu sebenarnya adalah ujian. Syaitan boleh datang dalam pelbagai cara, termasuk membisikkan sesuatu melalui manusia untuk menguji sama ada kita mahu terus kuat ataupun tidak. Jadi saya cuba ambil semua itu sebagai dugaan dan teruskan juga,” katanya.

Tambah Salina, dia memahami masih ada pihak yang menilai penampilannya termasuk cara pemakaian yang belum sempurna, namun berharap orang ramai dapat memberikan ruang kepadanya untuk belajar dan memperbaiki diri sedikit demi sedikit.

“Saya tahulah ada orang yang komen pasal tudung, pasal pakaian, baju masih ketat dan sebagainya. Saya sedar semua itu. Saya tengah cuba. Berilah saya peluang untuk belajar.

“Kadang-kadang pakai tudung sampai sejam pun tak siap. Lilit sana, lilit sini, akhirnya rasa macam, ‘Ah, tak naklah pakai tudung’. Waktu itulah saya rasa itu semua bisikan syaitan yang cuba melemahkan semangat saya. Tapi saya lawan juga sebab saya tak nak mengalah,” katanya.

Dalam masa sama, Salina mengakui dia merindui penampilan lamanya, terutama rambut yang pernah menjadi antara aset kecantikannya.

“Saya rindu juga rambut saya yang dulu. Rambut saya memang cantik dan tebal. Dulu sebelum keluar rumah memang rasa yakin sangat dengan penampilan. Itu memang satu dugaan buat saya.

“Tapi saya fikir, hidup ini bukan lama pun. Saya dah masuk separuh abad. Kita tak tahu bila masa kita akan pergi. Jadi kalau masih ada peluang untuk buat sesuatu yang lebih baik kepada diri sendiri, buatlah.

“Jangan terlalu sibuk fikir apa orang kata. Lebih baik fikir bekalan kita sendiri kerana akhirnya kita yang akan berdepan dengan Allah nanti,” katanya.

Berkongsi mengenai detik penghijrahannya, Salina mengakui dia sendiri tidak pernah merancang untuk pulang dari Tanah Suci dengan imej berhijab.

“Sebenarnya semasa pergi umrah pun saya langsung tak berniat untuk pulang dengan memakai tudung. Memang tak ada niat langsung. Tetapi apabila berada di sana, hati saya berubah dengan sendiri.

“Saya pun tak tahu hendak cakap itu hidayah atau bagaimana. Mungkin juga doa orang sekeliling yang Allah makbulkan. Sebab itu saya selalu cakap kepada orang, kalau ada peluang pergilah menjadi tetamu Allah. Jangan tunggu semuanya sempurna baru hendak pergi kerana kita sendiri tak tahu bila peluang itu akan datang.

“Saya sendiri pergi ditaja, tetapi saya percaya rezeki untuk ke sana bukan hanya soal duit. Ia perlukan usaha, doa dan izin Allah. Sebab itu sekarang saya berniat untuk kembali ke sana setiap tahun jika diberikan rezeki, malah saya juga berniat untuk menaja sekurang-kurangnya seorang menunaikan umrah setiap tahun. Itu doa dan impian saya, semoga Allah permudahkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salina berkata dia akan tetap menyelesaikan komitmen lakonannya dalam drama Gerak Khas sebelum berbincang mengenai perubahan penampilan watak ASP Salina pada musim akan datang.

“Saya tak nak menyusahkan mana-mana pihak. Musim ini saya habiskan dahulu seperti yang dirancang. Insya-Allah untuk musim akan datang, saya akan berbincang supaya watak ASP Salina juga tampil bertudung.

“Alhamdulillah, penerbit juga memberikan reaksi yang sangat positif. Dalam dunia sebenar pun ramai anggota polis wanita yang berhijab. Jadi saya rasa perubahan itu bukan sesuatu yang mustahil untuk diterapkan dalam jalan cerita,” katanya.

The post Ada yang tegur, muda lagi nak pakai tudung – Salina Saibi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved