
JIKA kita bekerja di sebuah syarikat yang menyewakan mesin fotostat pada syarikat mempunyai pelanggan kedai arak. Apakah hukum saya bekerja di syarikat tersebut? Mohon penjelasan.
JAWAPAN: BAGI situasi orang yang bekerja di sesuatu syarikat yang hasil pendapatannya daripada sumber yang meragukan ataupun dikhuatiri bercampur-baur antara halal dengan haram, maka hukum menerima gaji daripada sumber tersebut adalah makruh. Kenyataan ini merujuk kepada pendapat Imam Nawawi dalam Raudhah al-Tholibin.
“Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.” (Rujuk: Raudhah al-Tholibin wa ‘Umdah al-Muftin, 7/337)
Tambahan, Imam al-Suyuti turut menukilkan penerangan Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni berkenaan pembahagian perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya ketika menerangkan kaedah fiqh yang berbunyi: “Sesuatu perkara yang diyakini tidak dapat diatasi dengan keraguan.”
Situasi tersebut berkemungkinan boleh menyebabkan seseorang itu turut terlibat dengan perkara yang haram. Oleh kerana itu, hukumnya adalah makruh sebagai langkah berhati-hati.
“Sesiapa yang sumber hartanya banyak daripada yang haram dan orang yang ingin menerima daripadanya tidak dapat mengesahkan status fizikal harta tersebut adalah haram, maka tidak haram berjual beli dengannya kerana terdapat kemungkinan ada sumber yang halal dan tidak ada bukti yang jelas unsur yang haram pada harta tersebut.
“Namun begitu, makruh untuk bermuamalat dengannya kerana dibimbangi penerima akan terlibat dengan perkara yang haram.”
Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW melaknat beberapa golongan yang terlibat dengan arak.
Oleh itu, semua perbuatan yang berkaitan dengan arak diharamkan.
Namun begitu, jika seseorang bekerja di sebuah syarikat yang berurusan sewa beli dengan syarikat arak dan dikhuatiri akan hasil pendapatannya bercampur dengan perkara yang haram, maka hukumnya makruh untuk menggunakan gaji hasil bekerja di syarikat tersebut.
Hal ini kerana hasil tersebut dibimbangi daripada perkara yang haram yang bercampur dengan sumber halal.
Namun begitu, perbuatan bekerja di syarikat yang menyewakan mesin fotostat untuk memudahkan urusan perniagaan arak adalah haram.
Hal ini kerana perbuatan tersebut dikira membantu dalam urusan maksiat iaitu arak. Oleh yang demikian, kami menasihati kepada semua yang beragama Islam supaya mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menjerumuskan diri kepada perkara haram.
Justeru, dengan mengelakkan diri daripada perkara tersebut dapat menyelamatkan diri dari terjatuh ke dalam perkara yang dilarang oleh agama.
The post Adakah haram bekerja di syarikat berkaitan arak? appeared first on Kosmo Online.





